KUALA LUMPUR:Penangguhan bayaran balik pinjaman ditawarkan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), akan memanfaatkan 262,000 Sahabat AIM di seluruh negara berikutan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga Disember depan.

Pengerusi Lembaga AIM Datuk Seri Lajim Ukin berkata penangguhan itu berkuatkuasa serta merta, bagi tempoh lima minggu bermula 9 Nov sehingga 6 Dis 2020, dengan proses penangguhan bayaran sebanyak tiga kali dan moratorium tambahan maksimum selama satu tahun.

Menurutnya, penangguhan itu memberi kesan langsung kerugian membabitkan RM17.7 juta kepada AIM. 

“Sepanjang PKPB, keputusan moratorium ini membabitkan penangguhan bayaran balik pinjaman berjumlah RM164 juta sehingga tamat PKPB pada Disember ini.

“Penangguhan bayaran secara automatik ini juga sebagai kemudahan kepada Sahabat AIM yang terkesan teruk akibat pandemik COVID-19 dan dibuka sepanjang tahun ini sehingga 2021,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata penangguhan itu merupakan sebahagian daripada inisiatif AIM bagi membantu Sahabat, selain memastikan kelangsungan perniagaan mereka sepanjang tempoh PKPB.

Katanya, permohonan menangguh bayaran balik bagi kali pertama dan kedua tidak akan menjejaskan had pinjaman Sahabat AIM, selain tiada caj faedah dikenakan terhadap penangguhan bayaran balik.

KUIZ BELANJAWAN 2021: Apa anda dapat dalam Belanjawan kali ini?

Bagi memudahkan operasi pengendalian perkhidmatan di 92 cawangan AIM seluruh negara, Lajim berkata kesemua pegawai akan bekerja secara dua sesi.

“Sepanjang tempoh PKPB, operasi pejabat berjalan seperti biasa namun dibahagikan kepada dua sesi iaitu pagi dan petang bagi memastikan penjarakan sosial dapat diamalkan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Lajim berkata sehingga kini AIM telah mengagihkan sebanyak 1,500 Bakul Kasih AIM di Sabah, dan bantuan akan memperluaskan ke seluruh negara bagi membantu meringankan beban golongan sasar yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

-- BERNAMA