Pelantikan Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor sebagai Pengerusi FELDA dijangka dapat menyelesaikan masalah kelewatan bayaran elaun sara hidup dan hasil peneroka.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Pahang, Datuk Nazri Ngah berkata lantikan itu membolehkan FELDA bermesyuarat untuk mencairkan dana yang memerlukan kelulusan ahli lembaga pengarahnya.

"Kita juga berharap kerajaan Pakatan Harapan akan memikirkan nasib peneroka dan membuat dasar yang tidak membebankan rakyat selain mengukuhkan hubungan diplomatik dengan China," katanya kepada pemberita di sini, pada Sabtu.

Pada Jumaat, media melaporkan pelantikan Megat Zaharuddin sebagai Pengerusi baharunya, menggantikan Tan Sri Shahrir Abdul Samad yang melepaskan jawatan pada 14 Mei lalu.

Sementara itu, Ahli Parlimen Paya Besar Mohd Shahar Abdullah juga meminta kerajaan dan pengurusan FELDA untuk melaksanakan segera perancangan membantu gologan peneroka selepas mendakwa menerima keluhan peneroka di 16 tanah rancangan di bawah Parlimen beliau.

"Pisahkan politik dendam dan niat untuk mencari kesalahan orang sebab mereka adalah kerajaan yang membawa slogan harapan baharu.

"Mereka memberi harapan kepada rakyat, jadi tunaikan manifesto ketika berkempen pada pilihan raya umum yang lalu," katanya.

Kebelakangan ini, media melaporkan keluhan peneroka yang mendakwa pendapatan mereka merosot kerana trend kejatuhan kelapa sawit, selain bayaran bonus Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini juga lebih rendah daripada sebelumnya. -- Bernama