KUALA LUMPUR: Lapan termasuk seorang bekas anggota polis yang dipercayai ahli sindiket pengedaran dadah terbesar di Sabah dikenali Geng Upik sedang diburu polis.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, bekas anggota polis itu dikenal pasti sebagai Haibil Kiraman, 48, yang bersara awal pada 1 November 2021 dengan lokasi akhirnya dikesan di Tawau, Sabah.

Menurutnya, dua lagi warga tempatan ialah Absar Musa, 37, dan Sahairul Din Sabudin, 37, dengan lokasi akhir masing-masing dikesan di Kota Kinabalu dan Tawau.

"Lima lagi individu, terdiri daripada empat rakyat Filipina dan seorang wanita Indonesia dikenal pasti sebagai Hasan Syamsuddin (Nas Botak), Joel Edwin (Dedek), Muhammad Sing Harun Musa( Thambi), Manan Ungok (Mike) dan Rohani Mohd. Yunus (Karisa).

"Seterusnya ialah empat warga Filipina iaitu Muhammad Sing Harun Musa, Joel Edwin, Hasan Syamsuddin dan Manan Ungok dengan lokasi akhir masing-masing di Tawau dan Papar, Sabah," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada Selasa.

Dalam pada itu, dalam perkembangan sama, beliau memberitahu, tiga lagi ahli individu termasuk seorang wanita yang dipercayai terlibat dengan sindiket pengedaran dadah Geng Upik itu akan dituduh di mahkamah pada 1 Mac ini.

Menurutnya, tiga individu yang berusia 25 hingga 29 tahun itu kini berada di pusat pemulihan akhlak dan sedang menjalani hukuman bagi kesalahan lain.

"Siasatan mendapati mereka adalah sebahagian daripada ahli sindiket pengedaran dadah itu, yang mungkin berperanan sebagai transporter," jelasnya.

Mengulas lanjut, Ayob Khan memberitahu, dalam kes itu, polis membekukan 42 akaun bernilai RM1.86 juta bagi tempoh 27 Disember tahun lalu hingga 19 Januari lalu dengan penambahan pembekuan lapan akaun sejumlah RM543,378.58.

"Antara pembekuan harta dan penyitaan ialah 10 jentera, 11 hartanah, 20 kenderaan, wang tunai RM35,041 dan barang kemas (RM100,000).

Jelasnya, jumlah keseluruhan pembekuan dan penyitaan harta adalah RM9.72 juta," ujarnya.

Sementara itu,  dalam kes 11 individu termasuk seorang bergelar Datuk yang didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang Geng Upik di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, pada Isnin, lalu Ayob Khan menjelaskan dua daripada mereka ialah polis berpangkat Inspektor dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) serta anggota berpangkat Sarjan yang bertugas di Pasukan Gerakan Am (PGA).

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung lapan suspek yang sedang diburu supaya menghubungi balai polis berhampiran dengan segara.