KUALA LUMPUR : Kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) melibatkan dua perkampungan orang asli di Rompin, Pahang yang terdiri daripada Kampung Kerpal dan Kampung Pinang berkuat kuasa 8 Julai ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu bagi memudahkan pengesanan awal pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PKPD di kedua-dua lokaliti tersebut berkuat kuasa 8 Julai sehingga 21 Julai ini,” katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Sementara itu, Ismail Sabri turut mengumumkan pelaksanaan PKPD di Kampung Sri Menanti, Tawau, Sabah untuk tempoh yang sama.

Ini berikutan 15 kes positif dikesan di lokaliti tersebut hasil saringan 36 individu.

Dalam pada itu, beberapa lokaliti di perkampungan Pulau Gaya, Kota Kinabalu, Sabah turut diperluas sebagai kawasan PKPD.

Ini melibatkan Kampung Kasuapan, Kampung Lok Urai, Kampung Pulau Gaya, dan Kampung Pondo untuk tempoh sama.

Selain itu, Ismail Sabri turut mengumumkan PKPD di Kampung Mambong, Kuching, Sarawak yang juga berkuat kuasa untuk tempoh yang sama.