KUANTAN: Pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan di Gebeng di sini, dijadual bermula tahun depan dan beroperasi pada tahun 2026 dengan kos sebanyak RM2 bilion, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Pembinaan lapangan terbang itu juga dibuat dengan rancangan pembangunan bercampur bandar aeroangkasa melibatkan kawasan seluas 5,042 hektar, yang disifatkan Wan Rosdy sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi Pahang.

Untuk rekod, lapangan terbang sedia ada iaitu Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah di sini merupakan milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

"Projek ini akan dibangunkan secara usaha sama iaitu melalui Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) yang berkonsepkan pembangunan secara bina-kendali-milik (BOO) yakni pengoperasian lapangan terbang ini akan dikendalikan oleh pihak syarikat sepenuhnya melalui pembentukan syarikat tujuan khusus (SPV) iaitu Pahang Airport Berhad.

"Pemajuan projek ini dijangka menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi Pahang melibatkan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM7.5 bilion setahun atau bersamaan RM150 bilion dalam tempoh 20 tahun selain kerajaan negeri menyasarkan untuk menguasai sekurang-kurangnya satu peratus daripada pasaran penyelenggaraan, baik pulih dan pembaikan (MRO) Asia Pasifik yang dianggarkan bernilai RM15 trilion.

"Komponen projek ini melibatkan 70 peratus untuk MRO dan baki 30 peratus pula adalah bagi pengoperasian lapangan terbang itu sendiri," katanya menerusi kenyataan media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) pelaksanaan projek tersebut di sini hari ini.

Pada majlis itu, kerajaan negeri diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Pahang Corporation Sdn Bhd Datuk Mohd Khusaini Harumaini manakala Gading Group Berhad selaku pemaju utama bagi kedua-dua projek diwakili pengerusi eksekutifnya Datuk Seri Johari Harun.

Sementara itu, Ketua Perwakilan AVIC Intl ke Malaysia Zhuo Yue menandatangani selaku rakan strategik bagi projek pembinaan lapangan terbang manakala rakan strategik bagi pemajuan pembangunan bercampur bandar aeroangkasa ialah Syabas Seribumi Sdn Bhd yang diwakili pengarahnya Mohamad Nor Hamid.

Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut mencemar duli di majlis tersebut.

Menurut Wan Rosdy Gading Group Berhad mempunyai kepakaran perniagaan dalam bidang aero-angkasa seperti sebagai penyedia kelengkapan dan perkhidmatan bagi pesawat udara dan mesin atau kelengkapan lain berkaitan perkhidmatan udara.

Syarikat yang dilantik sebagai rakan strategik juga memiliki kepakaran, pengalaman yang kukuh serta rekod yang baik dalam bidang pembangunan infrastruktur lapangan terbang dan pembangunan bercampur, katanya.

Selain itu, Wan Rosdy berkata pelaksanaan projek itu membuka peluang pekerjaan dengan sasaran 20,000 pekerjaan bagi pengoperasian lapangan terbang dan 30,000 pekerjaan lain menerusi pembangunan sektor perindustrian, perkhidmatan dan pelancongan.

Pelaksanaan projek itu di Gebeng juga mengambil kira faktor hub ekonomi kerana terletak di kawasan perindustrian Gebeng serta berhampiran Pelabuhan Kuantan dan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang diharapkan menjadikan Pahang sebagai pilihan utama pelabur berdasarkan kepada kemudahan tersebut.

-- BERNAMA