KUALA LUMPUR: Laporan akhir Pasukan Petugas Khas Semakan Undang-undang Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan dijangka akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri bulan depan, sebagaimana keputusan Jemaah Menteri pada 29 Okt tahun lepas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata laporan setebal 500 muka surat itu telah diterimanya daripada Pengerusi Pasukan Petugas Khas, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Katanya penyerahan laporan berkenaan turut disaksikan pegawai-pegawai kanan kementerian dan jabatan berkepentingan antaranya Kementerian Luar Negeri, Kementerian Alam Sekitar dan Air, Jabatan Peguam Negara dan Majlis Keselamatan Negara.

"Laporan akhir itu merupakan suatu laporan yang bersifat bebas (independent) berasaskan pandangan dan pendapat pakar hasil analisis, penelitian dan pemerhatian Pasukan Petugas Khas sepanjang hampir sembilan bulan tempoh pelaksanaan iaitu mulai 9 November 2021 hingga 30 Ogos 2022.

"Syor opsyen-opsyen terbaik kerajaan mengenai hala tuju berhubung kes berkenaan yang dijelaskan melalui laporan khas ini adalah susulan keputusan kerajaan untuk tidak meneruskan Permohonan Semakan dan Permintaan Tafsiran di International Court of Justice (ICJ), The Hague Belanda pada tahun 2018 terhadap keputusan penghakiman ICJ pada tahun 2008," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Wan Junaidi berkata pelaksanaan Pasukan Petugas Khas merupakan komitmen kerajaan untuk memastikan kedaulatan negara sentiasa terjamin dan menjadi keutamaan.

"Lanjutan daripada ini, syor-syor Pasukan Petugas Khas akan diteliti secara mendalam dan terperinci dari semua aspek agar sebarang tindakan susulan Kerajaan berkaitan isu ini memberikan impak yang positif kepada negara," katanya.

Terdahulu beliau berkata laporan akhir berkenaan telah dibentangkan kepada Jawatankuasa Pemantauan yang dipengerusikannya setelah dimuktamadkan pada 22 Ogos lepas.

-- BERNAMA