MALAYSIA
Laporan bedah siasat kematian pelatih PALAPES dijangka siap dalam tiga bulan - Peguam

Menurut Naran, keperluan inkues terhadap kematian Allahyarham akan ditentukan AGC selepas menerima laporan penuh bedah siasat kali kedua daripada PDRM. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Laporan bedah siasat berhubung kes kematian pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, dijangka diketahui dalam tempoh tiga bulan.
Ringkasan AI
- Laporan bedah siasat kedua kematian pelatih PALAPES UTM, Syamsul Haris dijangka siap dalam tempoh tiga bulan, termasuk menunggu laporan kimia dan forensik.
- Keperluan inkues akan ditentukan Jabatan Peguam Negara selepas menerima laporan penuh; siasatan menyeluruh sedang dijalankan oleh PDRM.
- Bedah siasat semula dilakukan selepas keluarga mempertikai laporan pertama yang menyatakan punca kematian akibat sawan, dengan mendakwa terdapat kesan lebam dan pendarahan.
Menurutnya lagi, keperluan inkues terhadap kematian Allahyarham akan ditentukan Jabatan Peguam Negara (AGC) selepas menerima laporan penuh bedah siasat kali kedua daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Sementara itu Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dilaporkan berkata, sebelum sebarang arahan diberikan, siasatan penuh perlu dijalankan dengan penelitian dari pelbagai aspek.
“Untuk makluman, saya sudah menghubungi PDRM bagi mendapatkan laporan penuh hasil bedah siasat kedua.
"Kita tidak boleh memberi kata putus sehingga sebarang arahan diberikan, sama ada inkues perlu diadakan atau tidak. Siasatan penuh wajar dilakukan terlebih dahulu dengan penelitian menyeluruh,” jelasnya.
Sebelum ini, laporan bedah siasat pertama menyebut punca kematian Syamsul Haris adalah akibat sawan.
Namun, keluarga mempertikai dapatan itu dan berkata terdapat kesan lebam dan pendarahan pada tubuh mangsa.
Susulan itu, Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 26 Ogos lalu membenarkan kubur Allahyarham di Semenyih digali semula untuk proses bedah siasat kedua, yang dijalankan di Hospital Kuala Lumpur kelmarin.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami