Skip to main content

Malaysia

Laporan interim hala tuju strategik Felda dikemuka kepada PM hujung bulan ini

41626158326_felda.jpg
Penelitian turut melibatkan isu premium tanah tertunggak, pendaftaran hak milik dan kedudukan tanah dengan kerajaan negeri.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Laporan interim yang mengandungi hasil kajian serta cadangan penambahbaikan oleh Jawatankuasa Khas Pelan Strategik Hala Tuju Kumpulan FELDA 2025-2030 (Jawatankuasa Khas HTF30) akan dikemukakan kepada Perdana Menteri pada penghujung bulan ini.

Jawatankuasa Khas HTF30 dalam kenyataan hari ini memaklumkan laporan itu disediakan selepas jawatankuasa berkenaan mengadakan enam siri mesyuarat bersama pihak berkaitan termasuk FELDA.

“Siri mesyuarat berkenaan meneliti pelbagai aspek melibatkan hala tuju strategik, operasi, kedudukan kewangan, struktur organisasi dan tadbir urus Kumpulan FELDA,” menurut kenyataan itu. 

Kenyataan itu memaklumkan Jawatankuasa Khas HTF30 sedang meneliti perkara-perkara seperti status penyahsenaraian FGV Holdings Berhad serta pembentukan model perniagaan baharu untuk mencapai kelestarian dan kemandirian FELDA.

“(Turut diteliti) cadangan Model FELDA Baharu yang turut menyentuh tanggungjawab FELDA terhadap peneroka dan generasi seterusnya,” menurut kenyataan itu. 

Jawatankuasa itu turut mengkaji isu kelemahan tadbir urus dalam pembelian atau pelaburan lapan aset seperti yang terkandung dalam Kajian Forensik Kertas Putih Ke Arah Kelestarian FELDA yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 10 April 2019.

Selain itu, penelitian turut melibatkan isu premium tanah tertunggak, pendaftaran hak milik dan kedudukan tanah dengan kerajaan negeri.

Penubuhan Jawatankuasa Khas HTF30 diputuskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 5 Jun 2025 bagi mengkaji dan meneliti pelan strategik yang disediakan oleh FELDA dan dipengerusikan bersama oleh Datuk Seri Ahmad Fuad Md Ali serta Dr Nungsari Ahmad Radhi.

Jawatankuasa Khas HTF30 hanya berperanan sebagai badan penasihat manakala tanggungjawab fidusiari kekal digalas oleh Lembaga Pengarah serta pihak pengurusan FELDA dan anak syarikatnya selaras dengan struktur tadbir urus sedia ada.

Jawatankuasa berkenaan dianggotai oleh Nurhisham Hussein selaku wakil daripada Pejabat Perdana Menteri, Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi.

Turut menganggotai jawatankuasa itu ialah wakil-wakil daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM); Bahagian Kawal Selia FELDA, JPM; pakar audit daripada Ernst & Young PLT Malaysia serta pakar undang-undang daripada Tetuan Mohamad Hanafiah Zakaria.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement