Laporan siasatan polis terhadap kejadian malang yang menimpa anggota bomba Muhammad Adib Muhammad Kassim yang maut akibat dipukul sekumpulan perusuh dalam kejadian rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, bulan lalu, akan didedahkan kepada umum jika perlu.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kenyataan lengkap berhubung siasatan termasuk laporan perubatan forensik akan dikeluarkan oleh pihak polis dalam tempoh beberapa hari lagi.

“Saya telah dimaklumkan mungkin dalam tempoh beberapa hari akan datang kenyataan lengkap akan dikeluarkan pihak polis berkaitan Adib.

“Ikut keadaan kalau ada keperluan utk menyokong apa saja keputusan yang telah dibuat oleh pihak polis maka kita akan guna laporan forensik itu sebagai satu daripada asas sebelum kita memuktamadkan kes ini,” katanya di sini hari ini.

Tambahnya, beliau juga telah diberi taklimat berhubung laporan siasatan awal oleh pihak polis.

Bagaimanapun ianya sedang diperkemas sebelum satu laporan lengkap diserahkan kepadanya dalam tempoh beberapa hari lagi.


Beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan kepada 550 pelajar pada program “Back to School” Parlimen Pagoh di Kompleks Belia dan Sukan Pagoh pada petang Jumaat.

BACA: Kronologi hari-hari terakhir Muhammad Adib

Terdahulu, Muhammad Adib, 25 tahun meninggal dunia selepas mengalami cedera parah setelah dipukul sekumpulan perusuh dalam kejadian rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, bulan lalu.

Allahyarham meninggal dunia pada jam 9.41 Isnin malam setelah tiga minggu bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi (ICU) Institut Jantung Negara (IJN).