SEREMBAN: Pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Seremban pada Jumaat membuat laporan polis terhadap penceramah, Rosmin Adam berhubung ceramah yang didakwa memfitnah Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek di sebuah masjid di sini baru-baru ini.

Laporan polis berkenaan dibuat Setiausaha Akhbar Menteri Besar Negeri Sembilan, Ahmad Shahir Mohd Shah dan Ketua AMK Cabang Seremban, Mohamad Afif Anuar di Balai Polis Daerah di Seremban 2 di sini.

Ahmad Shahir berkata, kandungan video berdurasi 1.01 minit berkaitan ceramah Rosmin ketika kuliah Subuh di Masjid Dato' Klana Petra Lela Mohd Yusof, Sikamat di daerah ini, pada 1 April lalu berunsurkan fitnah.

Katanya, Rosmin didakwa mengulangi fitnah terhadap Fadhlina yang berkait isu perkataan kafir selain mengaitkan isu larangan takbir di sekolah, kantin sekolah dibuka pada Ramadan dan larangan membaca Qunut Nazilah di sekolah.

"Dalam ceramah itu lebih kepada menghasut, menanam kebencian dan fitnah walaupun penjelasan sudah diberikan.

"Walaupun dia tidak merujuk kepada mana-mana individu, namun semua maklum siapa individu yang dia rujuk.

"Fadhlina juga sudah memberikan respon yang jelas berkenaan isu terbabit," katanya.

Beliau berkata, masjid tidak boleh dibiarkan menjadi platform untuk menyebarkan fitnah, jika tidak ia akan mendatangkan masalah kepada masyarakat.

"Jika dia mengajar perkara yang betul, ia tidak menjadi masalah tetapi hasil rakaman video tersebut jelas dia menggunakan platform itu untuk menghasut dan menanam kebencian kepada satu pihak," katanya. - Sinar Harian