Pejabat Perdana Menteri hari ini menafikan satu laporan portal Sarawak Report yang berniat jahat mendakwa kononnya Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melanggar perintah kuarantin di rumahnya dengan ke luar negara mendapatkan rawatan kanser.

Sebaliknya, Muhyiddin menurut kenyataan itu telah menjalani tempoh kuarantin selama 14 hari seperti mana yang ditetapkan dalam Prosedur Operasi Standard (SOP) oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Ingin ditegaskan ia adalah satu pembohongan dan tuduhan berniat jahat. Semasa menjalani tempoh kuarantin, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri sentiasa mematuhi arahan tidak keluar rumah.

"Semua tugasan rasmi hanya dijalankan dari rumah termasuk mengadakan sidang video dengan Menteri Kanan Pertahanan dan Ketua Pengarah Kesihatan," menurut kenyataan itu.

Justeru dakwaan Sarawak report itu adalah tidak berasas sama sekali dan hanya rekaan penulis. Malah, penulis dan portal itu perlu bertanggungjawab atas tuduhan yang dilemparkan kepada Perdana Menteri dengan mengemukakan bukti termasuk menamakan pesawat dinaiki Perdana Menteri, hospital di Singapura dan doktor seperti yang didakwa.

"Amat malang apabila portal berita itu kini berubah mejadi 'perkakas politik' bagi menjaja dan menyebarkan fitnah melalui laporan yang tidak berpaksikan kebenaran.

"Fitnah ini merupaan satu gangguan yang tidak perlu ketika negara sedang berhadapan pandemik kesihatan dan cabaran ekonomi yang belum pernah dialami sebelum ini.

Malah, tahap kesihatan Perdana Menteri tidak seperti yang ditularkan oleh laporan itu.

"Mengenai tahap kesihatan YAB Perdana Menteri, seperti yang telah dilaporkan media sebelum ini beberapa pakar perubatan telah pun mengesahkan bahawa beliau kini bebas daripada penyakit kanser dan cukup sihat untuk melaksanakan tugas sebagai Perdana Menteri," kata kenyataan itu lagi.