Laporan siasatan kes Danish Irfan siap dua minggu lagi

Salim berkata pihaknya telah memanggil 13 individu bagi membantu siasatan yang bermula pada 6 Jan lepas, dengan individu terakhir memberi keterangan pada 14 Jan. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Hasil siasatan kes membabitkan pelari muda Danish Irfan Tamrin susulan dakwaan beliau dipaksa menulis surat menarik diri daripada Sukan SEA 2025 di Thailand dijangka siap dalam tempoh dua minggu lagi.
Pengerusi Jawatankuasa Siasatan Datuk Salim Parlan berkata pihaknya telah memanggil 13 individu bagi membantu siasatan yang bermula pada 6 Jan lepas, dengan individu terakhir memberi keterangan pada 14 Jan.
"Kami sudah mengambil keterangan semua individu terlibat dan kini dalam proses menyiapkan laporan hasil siasatan berhubung kes ini.
"Hasil siasatan akan diserahkan kepada Presiden Olahraga Malaysia sebelum dikemukakan kepada Menteri Belia dan Sukan untuk tindakan lanjut," katanya ketika ditemui semalam.
Media sebelum ini melaporkan Danish didakwa dipaksa menulis surat menyatakan beliau mengalami kecederaan, sedangkan perkara itu tidak benar.
Tindakan berkenaan dipercayai berlaku selepas atlet itu memenangi pingat perak acara 100 meter (m) pada Kejohanan Sekolah ASEAN (ASG), selain mencatat masa 10.61 saat (s) yang melayakkannya mewakili negara.
Catatan itu meletakkan beliau dalam kelompok empat terbaik untuk disenaraikan dalam acara 4x100m ke temasya Sukan SEA 2025.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


