Skip to main content

Malaysia

Laporan Tahunan JKmR 2025 akan diserah kepada PM sebelum dibentang di Parlimen

[TB]_Gari Generic_BERNAMA
SPRM kini membenarkan OKS memakai pakaian biasa ketika dibawa ke mahkamah, manakala pakaian lokap hanya dipakai sepanjang tempoh berada dalam tahanan di lokap. - Gambar hiasan/BERNAMA
Advertisement

KUALA LUMPUR: Laporan Tahunan Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKmR) 2025 akan diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum dibentangkan di Parlimen dengan mengambil kira ulasan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) Tahun 2025 mengenai perjalanan fungsi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah Akta SPRM 2009.

JKmR dalam kenyataan semalam memaklumkan laporan itu turut mengambil kira perkara-perkara yang dibincangkan dalam sesi pembentangan khas Ulasan LPPR pada Mesyuarat Bilangan 3 Tahun 2026 yang diadakan semalam.

"Dalam mesyuarat berkenaan JKmR mengambil maklum atas Ulasan LPPR berhubung Laporan Tahunan SPRM Tahun 2025 dan perkara-perkara yang dibangkitkan, khususnya berkaitan status dan tindakan pelaksanaan penguatkuasaan, pencegahan serta pengurusan SPRM selaras dengan mandat semak dan imbang yang diberikan kepada JKmR," menurut kenyataan itu.

Dalam mesyuarat sama, JKmR menyambut baik keputusan SPRM yang berkuat kuasa serta-merta untuk menggantung pemakaian baju oren bagi Orang Kena Siasat (OKS) yang dibawa ke mahkamah bagi prosiding permohonan reman.

Menurut kenyataan itu, OKS dibenarkan memakai pakaian biasa ketika dibawa ke mahkamah, manakala pakaian lokap hanya dipakai sepanjang tempoh berada dalam tahanan di lokap.

JKmR turut mengambil maklum bahawa penggunaan gari adalah berdasarkan keadaan dan keperluan keselamatan bagi setiap kes, dengan pengecualian bagi individu yang uzur, orang kurang upaya (OKU), kanak-kanak dan warga emas, tertakluk kepada penilaian keselamatan yang bersesuaian.

“Pendekatan ini mencerminkan usaha berterusan untuk memastikan tatacara pengendalian siasatan dilaksanakan secara profesional, berhemah dan selaras dengan prinsip keadilan, tanpa menjejaskan keperluan keselamatan serta kelancaran proses siasatan,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement