Larangan permainan dalam talian termasuk Roblox, tidak selesai isu keselamatan kanak-kanak -- Teo

Teo Nie Ching bercakap kepada pemberita selepas hadir pada Majlis Penyerahan Tandas Baharu dari Parlimen Kulai, di Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai, 11 Dis 2025. --fotoBERNAMA
KULAI: Tindakan melarang sesuatu permainan dalam talian termasuk aplikasi Roblox, dilihat tidak akan menyelesaikan isu keselamatan kanak-kanak.
Ringkasan AI
- Tindakan melarang permainan dalam talian seperti Roblox tidak akan selesaikan isu keselamatan kanak-kanak, kata Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.
- Teo menggesa perlunya permainan dalam talian mempunyai ciri keselamatan yang memadai untuk golongan kanak-kanak.
- Beliau menegaskan komitmen kementerian dalam memastikan keselamatan kanak-kanak dalam permainan dalam talian dengan melibatkan pelbagai pihak berkepentingan.
"Tindakan larangan itu (hanya) melarang mereka (kanak-kanak) agar langsung tidak boleh main (permainan dalam talian), mungkin itu bukan cara yang paling bagus.
"Tetapi, bagaimana kita hendak pastikan bahawa platform itu selamat, adalah dengan memastikan bahawa ada ciri keselamatan," katanya pada sidang media selepas melawat dan merasmikan tandas baharu di ruangan menunggu Hospital Seri Maharaja Tun Ibrahim (HTSMTI), di sini semalam.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai isu keselamatan kanak-kanak melibatkan permainan dalam talian termasuk Roblox.
Justeru, Teo mengulangi komitmen kementeriannya yang akan terus membendung isu itu, menerusi libat urus dengan pihak berkepentingan.
Beliau berkata usaha itu, bukan hanya perlu melibatkan penyedia plaftorm permainan dalam talian, tetapi juga aktivitis, badan bukan kerajaan dan pihak berkaitan.
Pada 27 Okt, seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun di Batu Pahat, cedera parah dikelar abangnya yang berusia sembilan tahun, dipercayai akibat terpengaruh dengan permainan dalam talian Roblox.
Terdahulu, Teo yang juga Ahli Parlimen Kulai menyempurnakan penyerahan projek dengan kos RM90,000, bagi pembinaan dua unit tandas awam mesra orang kurang upaya kepada pihak HTSMTI.
Beliau berkata pejabat parlimennya telah menyalurkan pelbagai sumbangan dengan keseluruhan peruntukan sebanyak RM483,841 kepada hospital itu sejak 2019.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


