BUTTERWORTH: Tindakan seorang lelaki yang melarikan diri dengan meninggalkan lori dipandunya di sebuah kedai kopi di Bagan Lalang, Buttterworth berjaya membongkar kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang, S Jegan berkata, lelaki itu melarikan diri selepas menyedari kehadiran sepasukan anggota penguatkuasa yang melaksanakan Op Tiris 3.0 semalam.

Jegan berkata, tindakan mencurigakan lelaki itu kemudian nya membawa pasukan penguatkuasa terbabit menghampiri lori berkenaan sebelum terbongkar kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi.

Menurutnya, melalui pemeriksaan yang dijalankan ke atas lori kanvas yang ditinggalkan itu, pihaknya  mendapati di dalamnya terdapat enam unit tangki berkapasiti 1,000 liter(I) yang telah diubahsuai.

“Dianggarkan terdapat sejumlah 2,800 liter minyak diesel disyaki telah diseleweng bernilai RM6,020 di dalam tangki lori berkenaan.

“Kita kemudian menyita minyak diesel itu termasuk dua set motor pump serta hos paip yang digunakan dalam kegiatan terbabit bagi tindakan lanjut

“Nilai sitaan keseluruhan barangan termasuk minyak diesel dianggarkan berjumlah RM27,620,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jegan berkata, pemandu lori yang melarikan diri itu dipercayai tidak memiliki dokumen atau permit kebenaran yang menyebabkan dia meninggalkan kenderaannya bagi mengelak ditahan.

Katanya, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi mengenalpasti individu dan syarikat yang terlibat dalam aktiviti atau rantaian pengedaran minyak diesel termasuklah sumber minyak diesel diperolehi dan edaran mana-mana pihak tidak bertanggungjawab.