SARIKEI: Ahli Parlimen Julau Datuk Larry Sng menggesa Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk bertindak keras terhadap kegiatan gengsterisme berleluasa yang telah menjadikan kawasannya sebagai 'Wild Wild West'.

Dalam catatan di halaman Facebooknya hari ini, Sng mendakwa bahawa kumpulan kongsi gelap itu bukan sahaja mengendalikan perjudian dalam talian di kedua-dua daerah Pakan dan Julau malah telah juga terbabit dengan aktiviti menjual dadah, kontraban seperti rokok dan minuman keras serta pinjaman wang haram.

"Mereka memaksa pemilik kedai kopi tempatan untuk membeli barang kontraband mereka di Pakan dan Julau dan memerah margin keuntungan daripada peniaga. Mereka yang menentang diugut secara paksa,katanya.

Katanya, syabu atau 'Batu' dijual secara terbuka di bandar Julau untuk menunjukkan bahawa mereka kebal undang-undang.

Sng berkata beliau juga dimaklumkan bahawa beberapa penjawat awam dan ketua rumah panjang (tuai rumah) telah berhutang dan terdesak untuk menjual tanah mereka dan meminjam wang bagi membayar balik samseng yang mengenakan kadar faedah yang terlalu tinggi.

"Ramai daripada mereka ini tidak mampu membayar balik dan sering diancam dengan kekerasan," tegasnya.

Katanya, beliau juga terserempak dengan beberapa samseng tempatan yang jelas ingin menimbulkan masalah ketika menziarahi masyarakat Cina di Julau yang menyambut Tahun Baharu Cina, baru-baru ini.

"Walaupun tidak cedera semasa kejadian itu, sejak itu saya sedar betapa cepatnya pekan luar bandar yang dahulunya aman damai itu kini menyerupai Wild Wild West," katanya.

Memetik Ketua Polis Daerah Julau, DSP Andam Sulin , sebuah akhbar tempatan melaporkan bahawa empat suspek telah direman di Julau pada 11 Feb untuk membantu siasatan kes jenayah kongsi gelap yang dilaporkan berlaku di Pakan, baru-baru ini.

"Kesemua suspek ditahan dan direman pada hari sama laporan polis dibuat. Kes kini disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah," katanya ketika mengulas hantaran Sng di Fackebooknya.

-- BERNAMA