Skip to main content

Malaysia

Latihan kecemasan KTMB fokus aspek akses, respons di pedalaman

51674736101_TBLOGOKTMB.jpg
Cabaran akses ke kawasan pedalaman, tempoh respons pasukan penyelamat dan penyampaian maklumat antara aspek yang dinilai Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam latihan kecemasan di laluan Ex Kemubu.
Advertisement

KUALA KRAI: Cabaran akses ke kawasan pedalaman, tempoh respons pasukan penyelamat dan penyampaian maklumat antara aspek yang dinilai Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam latihan kecemasan di laluan Ex Kemubu.

Pengurus Besar Kesihatan Pekerjaan dan Alam Sekitar KTMB Khairul Naim Johdi berkata penilaian itu penting memandangkan kedudukan kawasan berkenaan yang jauh dari jalan utama boleh menjadi cabaran kepada pasukan penyelamat untuk mendapatkan akses segera.

“Cabaran utama di kawasan pedalaman ialah akses masuk yang mungkin mengambil masa. Sebab itu latihan ini penting untuk melihat sejauh mana agensi penyelamat dapat bertindak segera selepas menerima maklumat daripada KTMB,” katanya pada Program Latih Amal Tindakan Kecemasan Ex Kemubu di sini hari ini.

Beliau berkata keberkesanan latihan akan dinilai menerusi proses post-mortem dengan mengambil kira maklum balas agensi terlibat, termasuk kelewatan respons, tindakan first responder, akses masuk serta penyampaian maklumat.

Khairul Naim berkata Ex Kemubu dipilih sebagai lokasi latihan kerana mempunyai ciri kawasan berisiko termasuk laluan berhampiran sungai, selain kedudukannya di pedalaman.

Beliau berkata latihan itu melibatkan kira-kira 350 peserta daripada 11 agensi termasuk Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Kementerian Kesihatan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Katanya, latihan kecemasan berskala besar itu dilaksanakan sekali setahun secara bergilir mengikut empat wilayah operasi KTMB, selain latihan berskala kecil yang diadakan sepanjang tahun bagi meningkatkan kecekapan anggota.

“Di kawasan pedalaman, akses masuk biasanya menjadi masalah sedikit. Aspek itu yang perlu ditambah baik, selain koordinasi dalaman dan pemakluman supaya maklumat dapat disampaikan lebih awal,” katanya.

Khairul Naim berkata persediaan menghadapi kecemasan turut merangkumi latihan, penyediaan prosedur serta memastikan kakitangan KTMB mahir melaksanakan tindakan termasuk pemindahan penumpang.

“Sekiranya berlaku kecemasan, perkara pertama ialah menghubungi pengawal operasi sebagai pusat kawalan KTMB. Maklumat itu kemudiannya akan disalurkan kepada agensi berkaitan untuk tindakan segera,” katanya.

Beliau berkata latihan berkenaan penting bagi memastikan sekiranya berlaku insiden sebenar di laluan Dabong atau Kemubu, semua pihak memahami peranan masing-masing dan mampu bertindak secara tersusun bagi melindungi keselamatan penumpang serta kakitangan.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement