Latihan Komando Polis Diraja Malaysia (PDRM) VAT 69 di Bukit Wang Burma, Wang Kelian dapat menghindari pencerobohan dan meningkatkan kawalan keselamatan di sempadan Malaysia-Thailand.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, langkah itu juga dapat mengekang kejadian pencerobohan khususnya pemerdagangan manusia dan penyeludupan barang terlarang.

"Bukit Wang Burma adalah hutan simpan dan bukan diwartakan sebagai kawasan keselamatan dan ini bermakna rakyat boleh menggunakan kawasan tersebut untuk tujuan rekreasi.

"Saya sudah maklumkan kepada polis agar tidak melarang orang biasa untuk masuk ke situ," kata Shahidan di sini Sabtu ketika mengulas mengenai latihan VAT 69 di Bukit Wang Burma.

Sebelum itu, Shahidan yang juga anggota Parlimen Arau menyerahkan sumbangan RM10,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Padang Petani dan Padang Cheria, Jejawi yang mempunyai masyarakat berketurunan Siam sempena Festival Songkran.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata operasi pembenihan awan (OPA) yang dilaksanakan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia di Perlis memasuki hari kelima hari ini.