SHAH ALAM: Lawan Barisan Nasional (BN) masih belum dapat memutuskan calon menteri besar mereka sekiranya menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini, kata Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurutnya, mereka memberi alasan mahu fokus kepada strategi untuk menang terlebih dahulu.

"Barangkali mereka gunakan formula sama seperti Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) 'menang dulu, berebut kemudian'," sindirnya menerusi hantaran di Facebooknya pada Rabu.

Beliau berkata, formula sama yang menyebabkan Perdana Menteri ke-7 lewat dapat membentuk kabinet kerajaan 22 bulan.

"Orang Johor yang bijaksana pasti mengerti lawan BN sebenarnya sukar capai kata sepakat calon Menteri Besar Johor nanti.

"Ianya sekali gus mengesahkan bahawa tiada kestabilan politik pada mereka untuk negeri Johor," katanya.

Beliau berkata, keadaan yang mengabsahkan mereka bertanding PRN Johor tanpa perhitungan masa depan rakyat negeri itu.

"Sebaliknya mereka mahu kembali berkuasa semata-mata untuk menyekat kebangkitan BN.

"Sangat 'obvious' ketidakstabilan mereka sehinggakan penggunaan logo pun tidak sepakat," katanya.

Ahmad Zahid turut mempersoalkan bagaimana pihak yang tidak stabil boleh menawarkan kestabilan sekiranya diberi undi pada 12 Mac ini.

Jelasnya, berbeza dengan BN yang bertanding PRN Johor dengan iltizam mengembalikan kestabilan dan kemajuan di Johor.

"Kita mempunyai hala tuju jelas bagaimana untuk mentadbir Johor sejurus diberi mandat atas pengalaman dan kemampuan.

"Sebenarnya rakyat Johor memang perlu berwaspada dengan lawan BN yang sejak azali kaya dengan formula," ujarnya.


Tambahnya lagi, semasa PRU14 mereka kemukakan formula 'PH menang, rakyat senang' dan 'RM50 penuh satu troli'.

"Begitu juga dengan formula 'hari ini menang esok harga petrol RM1.50' atau 'PH menang mansuh PTPTN'.

"Tidak perlu diulas panjang lebar apa telah terjadi kepada formula-formula itu selepas mereka diberi kuasa," katanya.

Kata Ahmad Zahid lagi, rakyat termasuk di Johor lebih mengetahui kerana telah merasai akibat sebilangannya tersalah undi.

"Kali ini orang Johor tidak boleh silap lagi. Bersama kita 'restore' kestabilan, kemakmuran, kesejahteraan, kemajuan," tegasnya.


Artikel asal di Sinar Harian