MALÉ (MALDIVES): Lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Maldives dijangka memberikan momentum baharu kepada hubungan dua hala Malaysia-Maldives, selain membuka ruang untuk memperluas kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pendidikan, pelancongan, pertahanan serta hal ehwal Islam.
Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Sri Lanka dan Maldives Badli Hisham Adam berkata lawatan rasmi sulung Anwar ke republik itu selama dua hari bermula hari ini akan menumpukan kepada usaha memperkukuh kerjasama sedia ada, dan meneroka bidang baharu yang berpotensi untuk kepentingan kedua-dua negara.
Beliau berkata Perdana Menteri dan Presiden Maldives Dr Mohamed Muizzu akan menilai perkembangan hubungan dua hala, serta bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.
“Kedua-dua pemimpin akan menilai kerjasama dua hala yang sekian lama terjalin antara kedua-dua negara dan meneroka kerjasama baharu dalam pelbagai bidang, terutamanya perdagangan dan pelaburan, pendidikan, pelancongan, pertahanan dan hal ehwal Islam,” katanya kepada media Malaysia menjelang lawatan Perdana Menteri ke sini.
Anwar dan Muizzu turut dijadual menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) dalam bidang kerjasama pertahanan dan hal ehwal Islam.
Badli Hisham berkata lawatan balas susulan kunjungan rasmi Muizzu ke Malaysia pada April 2025 itu akan meletakkan asas lebih kukuh bagi memperluas kerjasama dua hala yang lebih dinamik, progresif dan berorientasikan masa hadapan.
Dalam rangka lawatan berkenaan, Anwar akan diraikan dalam majlis sambutan rasmi di Republic Square, di sini, sebelum mengadakan mesyuarat empat mata dengan Muizzu, disusuli mesyuarat delegasi kedua-dua negara.
Kedua-dua pemimpin kemudian dijadual mengadakan sidang akhbar bersama, dengan kemuncak lawatan itu Perdana Menteri akan diraikan dalam jamuan makan tengah hari rasmi yang dihoskan oleh Muizzu.
Hubungan diplomatik Malaysia dan Maldives terjalin sejak 1968, dengan kedua-dua negara terus komited memperdalam hubungan dua hala, memperkukuh kerjasama ekonomi serta merapatkan hubungan antara rakyat.
Maldives ialah rakan dagang keenam terbesar Malaysia di Asia Selatan pada 2025, selain menduduki kedudukan sama sebagai destinasi eksport dan sumber import Malaysia di rantau itu, dengan jumlah perdagangan dua hala bernilai RM792 juta.
Eksport Malaysia ke Maldives pula berjumlah RM786.2 juta, dengan produk petroleum menyumbang 31.6 peratus daripada keseluruhan eksport.
-- BERNAMA