KUALA LUMPUR:Dalam keadaan sukar, pelbagai alternatif dilakukan untuk memastikan setiap usaha yang dilakukan mampu membuahkan hasil.

Bermula dengan cara konvensional yang lazim digunakan seperti memaparkan iklan mahupun poster, inisiatif seumpamanya juga dibantu penggunaan saluran teknologi.

Terbaharu, aplikasi e-dagang, Lazada Malaysia yang cukup terkenal dengan aktiviti perniagaan pelbagai produk dan perkhidmatan menyediakan inisiatif membantu Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Pada awalnya, cara itu menimbulkan tanda tanya, misalnya pengguna Twitter yang berdaftar atas nama CheTom mahu mengetahui sama ada perkara itu benar-benar wujud mahupun sekadar scam.


"PPUM dalam aplikasi Lazada memohon bantuan COVID-19 untuk kegunaan pakaian pelindung diri (PPE) hospital. Sumbangan itu bermula daripada RM50 hingga RM500 melalui aplikasi Lazada.

"Tidak banyak perincian diberikan, tetapi boleh klik pautan penjual untuk lihat profil dan produk. Jangan tanya adakah ini sah atau tidak," katanya menerusi Twitter pada Ahad.

Tangkap layar bantuan sumbangan dana COVID-19 dalam aplikasi Lazada.


Sumbangan itu bermula daripada RM50 hingga RM500 melalui aplikasi Lazada.

Menjawab kemusykilan itu, PPUM tampil menjelaskan bahawa usaha berkenaan dilakukan selepas menerima banyak permintaan daripada orang ramai untuk menyumbang bagi dana COVID-19.

PPUM dalam satu poster memaklumkan, selain Lazada, sumbangan juga boleh dilakukan menerusi laman sesawang www.ummc.edu.my.

"Dari lubuk hati yang tulus ikhlas, kami mengucapkan terima kasih atas keprihatinan, kemurahan hati anda dan mengalu-alukan semua jenis sumbangan," katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Pejabat Komunikasi Korporat Universiti Malaya (UM), Mohd Khairi Md Jaafar ketika dihubungi Astro AWANI, mengesahkan perkara tersebut.

Beliau berkata, usaha itu adalah inisiatif daripada Lazada untuk membantu mempromosi bantuan yang diperlukan PPUM.

"Perkara itu betul meskipun masih dalam peringkat perbincangan antara kedua-dua pihak kerana pada awal kita hanya iklan di akaun Facebook PPUM sahaja.

"Selepas itu, pihak Lazada tampil untuk membantu kami atas dasar untuk menyumbang bakti kepada petugas barisan hadapan," katanya.

Untuk sebarang maklumat lanjut, boleh hubungi urusetia di talian 019-305 3594 atau 03-7949 2021.