NATIONAL
LBS rai sambutan Tahun Baharu Cina, umum pelan strategik RM8 bilion

Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berkenan berangkat ke majlis sambutan Tahun Baharu Cina anjuran LBS.- Gambar LBS
KUALA LUMPUR: Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berkenan berangkat ke majlis sambutan Tahun Baharu Cina anjuran LBS Bina Group Berhad (LBS) di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur, pada Rabu.
Pada majlis itu, Pengerusi Eksekutif Kumpulan LBS, Tan Sri Ir (Dr) Lim Hock San, mengumumkan pelan strategik tiga tahun bernilai RM8 bilion yang bertujuan mengukuhkan kedudukan LBS sebagai peneraju industri pembangunan hartanah negara.
Pelan hala tuju korporat ini, yang dikenali sebagai Strategi 8 x 8, akan dilaksanakan mulai 2025 hingga 2027.
“Teras utama Strategi 8 x 8 adalah komitmen LBS untuk melancarkan rangkaian projek dengan jumlah nilai pembangunan kasar (GDV) sekitar RM8 bilion dalam tempoh tiga tahun berteraskan lapan fokus utama,” katanya.Lapan fokus utama tersebut termasuk perumahan, industri dan komersial, pembangunan strategik tanah, pengejaran kecemerlangan, peningkatan keupayaan pekerja, pengalaman pelanggan, kemajuan kelestarian serta kesejahteraan komuniti.
“Di bawah rancangan pembangunan LBS, kami komited untuk membantu rakyat untuk memiliki rumah sendiri. Projek-projek ini akan merangkumi pelbagai jenis kediaman bertingkat tinggi dan bertanah yang terletak di kawasan bandar utama, terutamanya di Lembah Klang, Pahang, Johor dan Perak,” tambahnya.

Sekitar suasana majlis sambutan Tahun Baharu Cina anjuran LBS Bina Group Berhad (LBS) di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur.- Gambar LBS
Antara projek yang sedang dilaksanakan ialah Centrum Iris, presint kedua dalam pembangunan Cameron Centrum di Cameron Highlands.
Projek bercampur terbesar itu bernilai GDV RM472 juta dan dijangka menarik perhatian pembeli dengan elemen moden serta sentuhan klasik Inggeris.
Tan Sri Lim turut menegaskan bahawa pembangunan ini selaras dengan matlamat LBS untuk memperkenalkan konsep kehidupan mesra alam, memandangkan Centrum Iris telah diiktiraf dengan pensijilan Silver GreenRE.
“Centrum Iris mentakrifkan semula kehidupan di tanah tinggi dengan menawarkan pelbagai tawaran komersial yang menarik,” ujarnya.
Majlis itu turut dihadiri Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu; Menteri Komunikasi Digital, Gobind Singh Deo; dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Mengakhiri ucapannya, Tan Sri Lim mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada seluruh rakyat Malaysia.
“Semoga Tahun Ular ini membawa kemakmuran dan kejayaan yang berlipat ganda kepada semua,” katanya.

Selama lebih daripada 30 tahun dengan pelbagai penganugerahan, LBS telah memberi tumpuan kepada rumah berkualiti dan mampu milik dengan meletakkan rakyat sebagai teras utama. - Gambar LBS
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami