KOTA BHARU: Polis Kelantan mengeluarkan kompaun bernilai RM60,000 terhadap 18 individu yang berkumpul pada upacara perubatan tradisional 'Main Puteri' di Kampung Sungai, Bachok, dekat sini pada Selasa.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, berkata mereka yang antaranya terdiri daripada tuan rumah dan penganjur berusia 23 hingga 63 tahun dikenakan kompaun mengikut Akta 342 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Katanya, kompaun itu dikeluarkan kerana melanggar operasi prosedur standard (SOP) dengan berkumpul beramai-ramai, yang jelas dilarang ketika ini.

"Kita telah bergerak buat pemeriksaan dan dapati memang ramai penduduk berkumpul kerana ada satu upacara tradisional iaitu cara rawatan 'Main Teri' atau 'Main Puteri'.

"Kita nasihat bersurai tapi mereka teruskan dan pihak polis terpaksa mengeluarkan kompaun ke atas mereka terlibat iaitu 18 orang... (yang) lain (sempat) melarikan diri," katanya.

Menurutnya lagi, polis terlebih dahulu menasihatkan penganjur supaya mengarahkan semua yang hadir iaitu kira-kira 100 orang bersurai namun tidak diendahkan.

Katanya, tiga penganjur dikenakan kompaun RM10,000 setiap seorang manakala 15 individu lain (RM2,000).

Untuk rekod upacara 'Main Puteri' adalah antara aktiviti perubatan tradisional yang dilarang di Kelantan kerana dikatakan mempunyai unsur pemujaan dan bertentangan dengan syariat Islam.

Dalam pada itu, Muhamad zaki berkata, sepanjang tempoh Mac tahun ini hingga semalam, sejumlah 5359 kompaun dikeluarkan kerana pelanggaran SOP di seluruh negeri.

Semalam, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob menjelaskan peningkatan kes COVID-19 di negeri itu berpunca daripada kepulangan perantau sempena cuti perayaan, baru-baru ini.

Dua hari lepas kelantan merekodkan kes COVID-19 tertinggi dalam negara iaitu 820 kes.