JOHOR BAHRU: Sebanyak 112,524 atau 4.1 peratus pengguna di Johor telah mendaftar dengan sistem Pangkalan Data Utama (PADU) setakat semalam, selepas sistem itu dilancarkan pada 2 Jan lepas.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Johor dalam kenyataan memaklumkan jumlah pendaftaran itu dilihat masih kurang memberangsangkan.

"Justeru, Bangsa Johor dijemput hadir untuk membuat pengemaskinian profil di kaunter fizikal PADU di Pusat Ekonomi Digital (PEDi) berhampiran," menurut kenyataan itu.

Jabatan itu memaklumkan pegawai DOSM Johor akan berada di kaunter PEDi terpilih untuk membantu orang ramai dalam pengemaskinian PADU.

Menurut kenyataan itu, rakyat Johor juga boleh hadir ke semua Pejabat DOSM negeri di Johor Bahru, Kluang, Muar dan Batu Pahat bagi tujuan berkenaan.

Pengemaskinian juga boleh dibuat secara dalam talian menerusi laman web PADU www.padu.gov.my selain maklumat terkini berkaitan sistem itu boleh didapati menerusi media sosial rasmi PADU, Kementerian Ekonomi, Jabatan Perangkaan Malaysia atau DOSM Johor.

PADU bertujuan menjadi sumber primer kerajaan dalam pengagihan subsidi dan penyaluran bantuan secara bersasar.

-- BERNAMA