Skip to main content

Malaysia

Lebih 1.06 juta PMKS direkodkan di seluruh negara, wakili 97 peratus keseluruhan perniagaan

JOHOR BAHRU, 23 Jan -- Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berucap pada Majlis Pelancaran IM Pahang Kluster Siswa 2026 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di sini hari ini.  Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan sebanyak RM9 juta bagi pemberian bantuan one-off RM400 kepada kira-kira 20,000 mahasiswa anak Pahang yang layak di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) terpilih seluruh negara tahun ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Wan Rosdy berkata usahawan hari ini juga tidak boleh lagi bergantung pada pendekatan lama tetapi perlu berani berubah dengan mengadaptasi penggunaan AI dan pendigitalan. - Gambar fail/Bernama
Advertisement

MELAKA: Terdapat lebih 1.06 juta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) direkodkan di seluruh negara, mewakili hampir 97 peratus daripada keseluruhan perniagaan di Malaysia, setakat hari ini.

Menteri Besar Pahang yang juga Penasihat Khas Majlis Pembangunan Usahawan dan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana Kebangsaan (MPUPK) Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata bagi zon selatan sahaja, terdapat 207,303 PMKS membabitkan 131,214 PMKS di Johor, Negeri Sembilan (42,673 PMKS) dan Melaka (33,416 PMKS).

"Angka ini membuktikan bahawa zon selatan merupakan antara pusat pertumbuhan keusahawanan yang paling aktif di negara ini," katanya ketika berucap pada Program Turun Padang Penasihat Khas MPUPK dan Dialog bersama Usahawan Bumiputera Zon Selatan di Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp merangkap Ketua Sekreatriat Tetap MPUPK Rizal Nainy dan Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem.

Bagaimanapun Wan Rosdy berkata walaupun pencapaian PMKS negara amat membanggakan namun landskap perniagaan hari ini berubah dengan sangat pantas.

Beliau berkata usahawan hari ini juga tidak boleh lagi bergantung pada pendekatan lama tetapi perlu berani berubah dengan mengadaptasi penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan pendigitalan.

“Penggunaan AI berupaya meningkatkan produktiviti manakala platform digital boleh membantu meluaskan pasaran.

"AI bukan lagi pilihan tetapi satu keperluan manakala pendigitalan bukan lagi sekadar nilai tambah, bahkan menjadi faktor utama yang menentukan daya saing sesebuah perusahaan," katanya.

Sementara itu pada sidang media kemudiannya Wan Rosdy berkata penambahan peruntukan geran dan kelonggaran beberapa syarat permohonan pembiayaan bagi membantu usahawan baharu memulakan perniagaan merupakan antara perkara yang akan diusulkan kepada kerajaan bagi memperkasa PMKS di negara ini.

Katanya, permintaan itu adalah antara maklum balas utama yang disuarakan PMKS pada Program Turun Padang MPUPK Zon Selatan hari ini.

"Pelbagai inisiatif kerajaan sedia ada banyak membantu perkembangan perniagaan PMKS namun terdapat beberapa syarat yang dilihat masih membebankan terutama kepada usahawan yang baharu memulakan perniagaan.

"Antaranya perlu mempunyai rekod prestasi kewangan yang baik sedangkam mereka baru berniaga… selain itu, mereka juga perlu memenuhi syarat ditetapkan termasuk dokumentasi, rekod perniagaan dan beberapa proses birokrasi sebelum layak menerima pembiayaan atau geran," katanya.

Mengenai majlis hari ini Wan Rosdy berkata program tersebut dihadiri lebih 300 usahawan PMKS serta wakil persatuan dan dewan perniagaan dari Melaka, Negeri Sembilan dan Johor bagi menyuarakan pandangan, cadangan serta cabaran yang dihadapi dalam mengembangkan perniagaan masing-masing.

Terdahulu pada majlis itu, sebanyak RM1.64 juta disalurkan kepada usahawan PMKS menerusi beberapa program iaitu RM1 juta bagi Program Bumiputera Rapid Acceleration and Value Enhancement (BRAVE), Program Dana Pemangkin Penskalaan PKS (RM350,000) dan Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera Skala (TUBE-S) melibatkan 19 penerima (RM285,000).

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement