NATIONAL
Lebih 120 pakar forensik digital, penyiasat jenayah siber bakal sertai Cyber Games 2025

Selain menjadi pentas pertempuran minda, Cyber Games juga akan menjadi platform kepada pakar-pakar untuk meningkatkan pemahaman berkaitan ancaman siber yang semakin berkembang. - Gambar hiasan/Adobe Stock
KUALA LUMPUR: Lebih 120 peserta terdiri daripada penyiasat jenayah siber dan pakar forensik digital dari 40 negara bakal menyertai Cyber Games 2025 yang dijadual pada 20 hingga 23 Mei depan.
Ketua Eksekutif Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) Dr Megat Zuhairy Megat Tajuddin berkata pertandingan anjuran Malaysia bersama Council of Europe dan Interpol itu, julung kali diadakan di peringkat global sebelum penganjurannya diteruskan di rantau Eropah dan Afrika.
"Pertandingan ini akan dianjurkan dengan konsep dan semangat yang sama seperti Interpol Digital Security Challenge yang berlangsung sejak 2016, namun pada skala lebih besar. Venuenya belum dimuktamad sama ada di sini (Kuala Lumpur) atau Putrajaya," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata melalui pertandingan itu, peserta akan diuji dengan pelbagai tugasan untuk menyelesaikan simulasi kes senario jenayah siber yang berlaku dalam situasi dunia sebenar.Mereka juga katanya akan diberikan tugasan untuk menyelesaikan masalah serangan perisian tebusan dengan memfokuskan kepada beberapa aspek utama seperti forensik digital, perisikan sumber terbuka dan penyiasatan kripto.
Beliau berkata selain menjadi pentas pertempuran minda, Cyber Games juga akan menjadi platform kepada pakar-pakar untuk meningkatkan pemahaman berkaitan ancaman siber yang semakin berkembang dan cara menanganinya dengan lebih berkesan.
Sementara itu, Megat Zuhairy berkata sempena Kepengerusian ASEAN 2025, Malaysia juga akan menjadi tuan rumah Persidangan Jenayah Siber peringkat ASEAN yang akan berlangsung pada 19 Mei ini dengan memfokuskan kepada topik serangan perisian tebusan dan penyiasatan kripto.
Persidangan itu katanya dijangka disertai pelbagai pihak termasuk pegawai kerajaan, agensi penguatkuasaan dan keselamatan siber dari negara ASEAN, pakar keselamatan siber dan forensik digital, penyedia teknologi keselamatan, pakar undang-undang serta sektor swasta dan organisasi antarabangsa seperti Interpol.
"NACSA juga akan bekerjasama dengan Council of Europe dan Interpol untuk memastikan persiapan rapi supaya persidangan ini berjaya mencapai objektif dan akan menjadi penanda aras kepada penganjuran tahun berikutnya," katanya.
Sebelum ini Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri Tunku Nashrul Abaidah memaklumkan Malaysia bersetuju menganjurkan Cyber Games dan persidangan peringkat ASEAN berhubung jenayah siber dengan kerjasama NACSA, Interpol dan Council of Europe Mei depan.
- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami