KUALA LUMPUR: Sebanyak 1,409 bakal pesara dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mendapat manfaat hasil inisiatif Kerjaya Kedua Perwira menerusi Pelan Transformasi PERHEBAT setakat September lepas.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 781 veteran berjaya memperoleh pekerjaan dalam sektor bernilai tinggi termasuk aeroangkasa, automotif, logistik dan perkhidmatan dengan purata gaji antara RM2,970 hingga RM5,000.
“Sebanyak 628 bakal pesara ATM pula sedang mengikuti latihan di industri,” katanya pada Majlis Konvokesyen ke-71 Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) di Dewan Jubli Perak, Kompleks PERHEBAT di Kem Sungai Buloh, dekat sini, pada Selasa.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pertahanan, Datin Roszanina Wahab.
Beliau berkata, PERHEBAT perlu terus agresif dalam usaha meningkatkan kemahiran, kompetensi dan kebolehpasaran anggota serta veteran agar mereka berupaya membina laluan kerjaya bernilai tinggi.
“Ingatlah, selepas bersara sekitar umur 40-an, ramai yang masih bertenaga dan berupaya untuk bekerja dan kita tidak seharusnya membazirkan potensi besar yang dimiliki.
“Saya menggesa bakal-bakal pesara yang masih berupaya janganlah berehat terlalu lama selepas fasa peralihan, rebutlah peluang yang ada untuk mendapat pekerjaan yang terbaik selepas persaraan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah PERHEBAT, Datuk Amir Md Noor berkata, pihaknya kekal komited untuk melahirkan tenaga kerja berprestasi tinggi yang menjadi aset penting kepada pembangunan ekonomi MADANI, dipacu penglibatan utama industri terhadap ekosistem bakat ATM, iaitu Kerjaya Kedua Perwira.
“Setakat ini, PERHEBAT bekerjasama dengan 513 agensi dan syarikat swasta merentasi pelbagai industri bagi memadankan kumpulan tumpuan ini dengan kemahiran yang dimiliki,” katanya.
Beliau berkata menerusi kerjasama erat itu, PERHEBAT berupaya menyediakan kumpulan veteran pertama yang merintis khidmat menjayakan pengoperasian perkhidmatan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) kepada rakyat Malaysia.
Menurut beliau, 10 peserta Program Latihan Kemahiran Industri (PLKI) - Projek ECRL berjaya menamatkan setahun pengajian di Liuzhou Railway Vocational Technical College, China.
“PERHEBAT akan terus memperkukuh ekosistem bersepadu yang menghubungkan bakal pesara dan veteran ATM dengan industri serta pasaran kerja bagi memastikan pengalaman, kemahiran dan kompetensi yang dimiliki dapat dimanfaatkan untuk meneruskan sumbangan kepada pembangunan negara, ke arah kesejahteraan hidup mereka,” katanya.
Pada majlis konvokesyen itu, sebanyak 4,164 anggota ATM berjaya menamatkan Latihan Peralihan di seluruh negara.
Sebanyak 833 anggota dan veteran ATM layak dianugerahkan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia, Diploma Kemahiran Malaysia dan Sijil Kemahiran Malaysia menerusi Program Pengiktirafan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (RPEL) sehingga September lepas.
-- BERNAMA