KUALA LUMPUR: Seramai 186,782 suri rumah telah berdaftar dan mencarum di bawah Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) setakat 10 September lalu, sejak ia berkuat kuasa pada 1 Disember 2022.

Ketua Pegawai Sumber Manusia, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Mohd Razmi Khalid berkata, inisiatif ini memberi perlindungan domestik termasuk ketika mengurus rumah tangga, menghantar anak sekolah dan urusan lain berkaitan keluarga, selain suri rumah yang ditimpa penyakit atau keuzuran.

Terbaharu, ujarnya 10 ahli dan pimpinan tertinggi kelab Harley Davidson Kingz Motor Group (Kingz MG) turut mencarum dalam skim berkenaan sebagai tanda sokongan kepada pelancaran inisiatif tersebut.

"Sempena Sambutan Hari Malaysia ke-60, PERKESO bersama Kingz MG menyeru semua suami dan pasangan khususnya dalam kalangan 'bikers', sama ada berkahwin atau belum, wanita yang menguruskan rumah tangga secara sepenuh masa atau tidak termasuk isteri, ibu, janda, balu atau ibu tunggal berusia 55 tahun ke bawah untuk menunjukkan komitmen dalam caruman skim ini yang hanya pada kadar RM120 setahun demi keselamatan ahli keluarga," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, KINGZ MG hadir ke Pusat Rehabilitasi PERKESO Melaka sebagai menunjukkan tanda sokongan kepada SKSSR PERKESO melalui inisiatif pelancaran #Abang Bikerz Sayang Bini.

Jelas Mohd Razmi, kumpulan berkenaan turut menyumbang sebanyak RM10,000 kepada dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Ia masing-masing sebanyak RM5,000 kepada Persatuan Buddhist Tzu Chi Foundation dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Portugis Melaka.

SKSSR diperkenalkan di bawah Akta Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 dan bertujuan memberi perlindungan kepada suri rumah yang mengalami kemalangan, penyakit atau apa-apa insiden semasa melakukan urusan berkaitan rumah tangga sehingga menyebabkan hilang upaya kekal.

SKSSR juga melindungi suri rumah yang ditimpa penyakit atau keuzuran, di mana penyakit atau keuzuran tersebut diperakukan keilatannya oleh penilai perubatan atau Jemaah Doktor Rayuan.