PUTRAJAYA: Lebih 200 lot niaga Anjung Syawal bersempena Festival Ramadan Putrajaya (FRP) 2027 habis terjual dalam tempoh 24 jam selepas tempahan dibuka, sekali gus mencerminkan sambutan luar biasa dalam kalangan usahawan terhadap penganjuran bazar Aidilfitri berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Puncak Niaga Maju Sdn. Bhd. (PNM), Muhamad Arif Omar berkata, permintaan tinggi itu di luar jangkaan pihaknya apabila ramai usahawan mula membuat pertanyaan dan tempahan sebelum pendaftaran rasmi dibuka.
Menurut beliau, sambutan kali ini turut melibatkan ramai peniaga baharu, termasuk pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) daripada pelbagai kategori perniagaan.
“Sebaik tempahan dibuka, lebih 200 lot niaga habis terjual dengan bayaran penuh dalam tempoh sehari. Ini membuktikan keyakinan usahawan terhadap potensi perniagaan di Anjung Syawal.
“Kami melihat perkembangan ini sebagai petanda positif bahawa Anjung Syawal terus menjadi antara platform pilihan peniaga untuk memasarkan produk mereka menjelang Aidilfitri,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.
Muhamad Arif berkata, baki lot niaga yang masih ditawarkan kini melibatkan kawasan premium dan ruang khas untuk penyertaan jenama utama serta rakan penaja.
Katanya, PNM juga sedang memperluas peluang penyertaan kepada jenama runcit berskala besar bagi memberikan lebih banyak pilihan produk kepada pengunjung sepanjang Ramadan.
“Penyertaan jenama besar bersama usahawan tempatan akan memberi nilai tambah kepada acara ini, selain mewujudkan suasana membeli-belah yang lebih menarik dan kompetitif,” katanya.
Anjung Syawal 2027 dijadualkan berlangsung dari 8 Februari hingga 9 Mac 2027 di Dataran Putrajaya, Presint 3, Putrajaya.
Ia bersempena FRP 2027 iaitu acara tahunan kali ke-15 anjuran Perbadanan Putrajaya (PPj) yang bertemakan ‘Seindah Ramadan, Harmoni Lebaran’.
PNM yang sekali lagi diberi tanggungjawab mengendalikan Anjung Syawal menyasarkan sebanyak 1.5 juta kunjungan pada tahun hadapan berbanding 1,386,452 kunjungan yang direkodkan pada 2026.
Muhammad Arif menambah, buat pertama kalinya, PNM aan turut mengendalikan Gastro Seni yang sebelum ini dianjurkan PPj bersama Kelab Usahawan Putrajaya (KUPPutra) pada 2026.
Katanya, pelbagai pengisian harian dan mingguan turut dirancang termasuk persembahan artis, nasyid, kebudayaan, sesi bersama selebriti dan pempengaruh serta aktiviti interaktif untuk keluarga dan generasi muda.
“Putrajaya mempunyai kelebihan sebagai pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan dengan komuniti penjawat awam dan keluarga yang besar selain mudah diakses dari Cyberjaya, Bangi, Kajang dan kawasan sekitar.
“Kami mahu pengunjung bukan sahaja datang membeli-belah, tetapi turut menikmati suasana Ramadan, berbuka puasa dan meluangkan masa bersama keluarga. Kepelbagaian aktiviti sepanjang acara juga memberi peluang kepada peniaga dan jenama untuk mendapat pendedahan yang lebih luas,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, PNM akan meneruskan kerjasama strategik dengan KUPPutra bagi memperkukuh penglibatan usahawan tempatan dan merancakkan kegiatan ekonomi di Putrajaya.
Untuk maklumat lanjut mengenai Anjung Syawal 2027 dan peluang penyertaan, orang ramai boleh melayari laman web atau media sosial rasmi Anjung Syawal FRP 2027.