Skip to main content

Malaysia

Lebih 20,000 hadir Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Sabah

KOTA KINABALU, 28 Mac --Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor bersalaman dengan orang ramai ketika menghadiri Sambutan Hari Raya Aiudilfitri Kerajaan Negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah hari ini.  __fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA  KOTA KINABALU, March 28 -- Sabah Chief Minister, Datuk Seri Hajiji Noor, shakes hands with the public while attending the state government’s Hari Raya Aidilfitri Celebration at the Sabah International Convention Center (SICC) today.  -- fotoBERNAMA (
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor bersalaman dengan orang ramai ketika menghadiri Sambutan Hari Raya Aiudilfitri Kerajaan Negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah hari ini. - Foto Bernama

KOTA KINABALU: Lebih 20,000 tetamu hadir memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Kerajaan Sabah yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini.

Majlis itu turut diserikan dengan kehadiran Yang Dipertua Negeri Tun Musa Aman dan isteri Toh Puan Faridah Tussin yang tiba kira-kira pukul 12 tengah hari.

Advertisement

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkata penganjuran rumah terbuka Aidilfitri telah menjadi tradisi tahunan kerajaan negeri dalam menyediakan ruang kepada rakyat pelbagai latar belakang untuk bersama-sama meraikan perayaan berkenaan.

“Kita adakan majlis ini setiap tahun, sudah menjadi tradisi kita untuk mengadakan sambutan perayaan Aidilfitri rumah terbuka seumpama ini.

“Majlis ini memberikan ruang dan peluang kepada rakyat pelbagai kaum, bukan saja masyarakat Islam, tetapi rakyat berbilang kaum turut hadir. Ini adalah sesuatu yang cukup baik untuk negeri kita yang pelbagai kaum ini.

“Kita gunakan peluang ini untuk merapatkan lagi silaturahim antara satu sama lain,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sebanyak 71 gerai melibatkan usahawan tempatan menyediakan pelbagai hidangan Aidilfitri, selain penyertaan 15 hotel serta enam agensi termasuk pihak berkuasa tempatan dan jabatan kerajaan negeri.

Sambutan bertemakan "Aidilfitri Wadah Perpaduan" itu turut meraikan lebih 1,000 anak-anak tahfiz dan anak yatim.

Pelbagai juadah antaranya rendang, kelupis (nasi yang dibungkus dengan daun), laksa, mi kari, biskut raya, kek, serta minuman disediakan untuk tetamu yang datang.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video