GEORGE TOWN: Lebih 3,000 jemaah membanjiri Masjid Habib di Tanjung Tokong hujung minggu lalu bagi menyertai program Maulid Akbar Bukit Bendera Berselawat yang dianjurkan sempena sambutan Maulidur Rasul.
Program anjuran Pertubuhan Ummah Malaysia (PUMA) dengan kerjasama Masjid Habib dan Yayasan Restu itu menghimpunkan masyarakat setempat serta jemaah dari seluruh Pulau Pinang dan beberapa negeri lain dalam suasana yang dipenuhi selawat, bacaan maulid dan pengisian keagamaan.
Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran pendakwah terkenal, Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid yang menyampaikan tausiah kepada para hadirin.
Selain itu, kumpulan qasidah Angham Anisah pimpinan Ustaz Ibrahim Al-Ansari bersama Gus Husaini turut menghidupkan suasana menerusi alunan qasidah dan bacaan maulid yang membangkitkan rasa kecintaan terhadap junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
Program dimulakan dengan Perarakan Maulid sebelum para jemaah berhimpun di Masjid Habib untuk mengikuti bacaan Wirdul Latif, solat Maghrib berjemaah, bacaan Maulid Dhiya'ul Lami', qasidah serta pelbagai pengisian agama. Majlis kemudian diakhiri dengan solat Isyak berjemaah dan jamuan rakyat.
Presiden Pertubuhan Ummah Malaysia, Mohamed Shaiful Nizam Mohamed Ismail berkata, penganjuran program itu bukan sekadar memperingati kelahiran Rasulullah SAW, malah bertujuan menyemarakkan budaya berselawat dan mengukuhkan kecintaan umat Islam terhadap Baginda.
Menurut beliau, usaha tersebut penting bagi memastikan masyarakat bukan sahaja mengenali Rasulullah SAW, malah mencontohi akhlak serta sunnah Baginda dalam kehidupan seharian.
"Program ini juga menjadi platform untuk memperkukuhkan ukhuwah dan menyatukan masyarakat melalui majlis ilmu, selawat serta semangat persaudaraan.
"Alhamdulillah, sambutan yang diterima melebihi jangkaan apabila lebih 3,000 jemaah hadir berbanding sasaran awal seramai 2,000 orang. Kehadiran ini membuktikan kecintaan kepada Rasulullah SAW mampu menjadi titik temu yang menyatukan umat," katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program berkenaan termasuk Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Masjid Habib, Yayasan Restu, para penaja, sukarelawan dan jemaah yang hadir.
Tambahnya, pihak penganjur menerima pelbagai maklum balas positif termasuk daripada masyarakat luar Pulau Pinang yang berharap program seumpama itu dapat diteruskan pada masa hadapan.
Menurut beliau, Maulid Akbar Bukit Bendera Berselawat diharap menjadi pemangkin kepada lebih banyak program berteraskan ilmu, selawat, akhlak dan ukhwah bagi memperkukuh penghayatan Islam dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda.