Mangsa banjir yang ditempatkan di Pahang masih melebihi 38,000 orang dan hujan lebat berterusan sejak awal pagi tadi dikhuatiri menyebabkan banjir semakin buruk di Pahang.

Sehingga pukul 1.30 tengah hari Sabtu, 38,235 mangsa banjir masih ditempatkan di 116 pusat pemindahan di lapan daerah di negeri ini.

Menurut Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, orang ramai diminta berjaga-jaga berikutan hujan lebat masih berterusan sejak awal pagi.

"Kuantan masih mencatatkan jumlah mangsa banjir paling ramai iaitu 32,871 mangsa banjir yang ditempatkan di 38 pusat pemindahan banjir," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Katanya, di Rompin, seramai 172 mangsa banjir ditempatkan di empat pusat pemindahan, Pekan (3,439 mangsa banjir di 25 pusat pemindahan), Maran (183 di 5 pusat), Jerantut (519 di 10 pusat), Lipis (53 di empat pusat), Temerloh (884 di 22 pusat) dan Bera (114 di lapan pusat).

Sementara itu, beberapa jalan utama masih ditutup akibat dinaiki air melebihi satu meter, antaranya Km28 Jalan Sungai Lembing-Kuantan, Km72 Jalan Kuantan-Segamat dan Km14 Jalan Temerloh-Bahau.

Pihak polis meminta orang ramai mematuhi arahan pihak berkuasa berpindah sekiranya diarahkan berbuat demikian.

"Hujan lebat sejak awal pagi ini dibimbangi akan menyebabkan kawasan rendah dinaiki air, manakala rumah mangsa yang terbabit banjir dan surut sebelum ini juga dikhuatiri akan dinaiki air semula," katanya.