Lebih 500 petugas polis di Semenanjung yang berasal dari Sarawak akan dibawa pulang menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri Sarawak (PRN) ke-11 pada 7 Mei ini.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) PDRM, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata petugas-petugas ini akan dibenarkan pulang ke tempat mengundi masing-masing secara berperingkat.

“Ada juga anggota polis yang berasal dari Sarawak tetapi bertugas di Semenanjung kita akan membawa mereka balik untuk bertugas di sini pada 7 Mei dan mereka akan melalui proses undi biasa seperti rakyat biasa,” kata Jalaluddin dalam satu sidang media selepas membuat tinjauan undian awal PDRM di Mes Pegawai Kanan IPK Sarawak di sini, hari ini.


Sementara itu, Jalaluddin berkata, seramai 7,397 petugas polis terlibat dalam proses undian awal pada Selasa.

80 kerusi dipertandingkan dalam PRN kali ini selepas dua kerusi dimenangi Barisan Nasional tanpa bertanding pada hari penamaan calon 25 April lalu.