KUALA LUMPUR: Ketika ini terdapat lebih 500 Mediator Komuniti di seluruh negara bagi membantu meleraikan sebarang perselisihan yang timbul di kawasan kejiranan.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, inisiatif Mediator Komuniti berperanan menyelesaikan sebarang isu yang timbul secara baik sebelum melibatkan pihak polis, yang seterusnya mengeruhkan semangat ceria berjiran.

“Peringkat komuniti kita ada mediator. Jika ada salah faham, sebelum bergaduh lebih parah dan sebelum melibatkan polis, kita galakkan masalah dirunding dahulu melalui mediator kita.

“Ketika ini, kita ada lebih 500 mediator di seluruh negara. Dalam perancangan, kita akan tambahbaik supaya mediator-mediator ini lebih efektif,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Isnin.


Lebih 500 Mediator Komuniti bantu lerai perselisihan di kejiranan - Menteri

Menurut Aaron antara kes-kes yang dilaporkan dan dikendalikan oleh Mediator Komuniti ini ialah kes kes bunyi bising, pergaduhan dan isu parkir.

“Berdasarkan kepada statistik, kes dilaporkan paling tinggi adalah ketika musim pilihan raya. Macam-macam yang terjadi termasuk tindakan politik dendam dan macam-macam lagi.

“Perkara ini jika tidak ditangani diperingkat akar-umbi ia boleh merebak dan menjadi masalah jenayah yang lebih besar,” jelasnya.

Tambah Aaron, usaha ini bukanlah bersifat jaga tepi kain, sebaliknya demi kesejahteraan komuniti.


Agenda AWANI: Rukun Tetangga peneraju komuniti MADANI