CAMERON HIGHLANDS,: Kerajaan telah meluluskan lebih 5,000 permohonan pemindahan kuota subsidi di bawah program BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) kepada ahli keluarga terdekat bagi memudahkan penggunaan subsidi oleh individu yang benar-benar menggunakan kenderaan berkenaan.
Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Johan Mahmood Merican berkata kemudahan itu diperkenalkan susulan maklum balas diterima kementerian berhubung keluarga yang kenderaan diesel didaftarkan atas nama ibu bapa, namun digunakan anak atau ahli keluarga lain.
“Satu daripada rungutan yang diterima ialah BUDI Diesel hanya diberikan kepada mereka yang memiliki kenderaan diesel, kadangkala dalam satu keluarga ada (memiliki) pikap di bawah nama ayah, tetapi yang menggunakannya ialah anaknya.
“Jadi, kami juga telah menyediakan satu kemudahan di laman web yang sama, membolehkan mereka pindah kuota contohnya daripada ayah kepada anak atau antara keluarga terdekat dan setakat ini, kita dapat lebih 5,000 permohonan yang telah diluluskan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan pemantauan penggunaan minyak diesel di bawah Program BUDI Diesel di sini hari ini, iaitu program yang telah dilaksanakan sepenuhnya sejak 1 Julai lepas.
Johan Mahmood berkata sekiranya berlaku situasi sedemikian, pemilik yang layak boleh mengemukakan permohonan pemindahan kuota subsidi secara dalam talian menerusi portal BUDI MADANI, iaitu budimadani.gov.my atau di mana-mana pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Dalam pada itu, beliau berkata Kementerian Kewangan (MOF) telah meluluskan lebih 200,000 permohonan pemilik kenderaan jenis jip dan pikap untuk menerima kuota tambahan 100 liter diesel bersubsidi di bawah program BUDI Diesel.
“Kemudahan itu disediakan bagi mengambil kira keperluan penggunaan diesel yang lebih tinggi dalam kalangan pemilik kenderaan berkenaan, khususnya golongan peniaga dan penduduk di kawasan pedalaman.
“Jadi, mungkin ini satu peringatan kepada pemilik pikap dan jip, terutamanya golongan peniaga, mereka yang mungkin berulang-alik dari kawasan pedalaman yang memerlukan subsidi tambahan ini diperingatkan untuk memohon,” katanya.
Sebelum ini, hampir 200,000 pemilik kenderaan diesel jenis pikap dan jip telah diluluskan tambahan 100 liter sebulan di bawah BUDI Diesel, menjadikan jumlah had kelayakan mereka sebanyak 300 liter sebulan bermula Julai ini.
Jumlah itu merangkumi lebih 174,000 warganegara di Semenanjung Malaysia dan lebih 22,000 warganegara di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan setakat 4 Julai.
Dalam pada itu, Johan Mahmood berkata kerajaan sedang mempertimbangkan untuk memperluas kelayakan di bawah program BUDI Diesel kepada pengguna set jana kuasa di rumah panjang dan bot di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak, bagi memastikan bantuan subsidi diesel disasarkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
“Sebagai contoh di Sabah, Sarawak, kita telah mengadakan libat urus dengan kerajaan negeri, ada golongan tidak memiliki kenderaan diesel tetapi memiliki bot diesel yang digunakan di sungai, jadi berdasarkan itu kita dapat senarai nama daripada Lembaga Sungai-Sungai Sarawak untuk kita tambah juga dalam senarai mereka yang layak.
“Selain itu, kita mengambil kira contohnya set jana kuasa untuk rumah panjang di kawasan pedalaman, yang itu juga kerajaan negeri dalam proses mengumpul nama-nama untuk ditambah kepada mereka yang layak menerima kuota, jadi kita akan memantau keadaannya secara berterusan,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata Kementerian Kewangan (MOF) memantau rapi pelaksanaan program BUDI Diesel dan BUDI MADANI RON95 (BUDI95) selain setakat ini pelaksanaannya berjalan lancar tanpa menerima sebarang laporan berhubung masalah penggunaan MyKad bagi pembelian kedua-dua bahan api tersebut.
"Kita akan kumpulkan aduan (sekiranya ada), memantau statistik penggunaan sebenar untuk kita melihat sama ada perlu buat satu perubahan pada ketetapan biasa," katanya.
-- BERNAMA