KUALA LUMPUR: Lebih lapan juta atau sehingga 90 peratus pengguna domestik Tenaga Nasional Berhad (TNB) bakal menerima manfaat susulan keputusan kerajaan meningkatkan aras perlindungan bil elektrik daripada 600 kilowatt-jam (kWj) kepada 800kWj sebulan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Shamsul Ahmad berkata peningkatan aras perlindungan itu merangkumi tambahan hampir satu juta pengguna domestik berbanding penetapan sebelum ini bagi mengurangkan beban kos sara hidup rakyat, khususnya dalam mendepani fenomena cuaca panas dan jerebu.
“Sebagai syarikat utiliti nasional, keutamaan TNB adalah untuk memastikan rakyat terus menikmati bekalan elektrik yang selamat dan berdaya harap dalam tempoh yang mencabar ini.
“Pada masa yang sama, TNB akan terus memainkan peranan secara proaktif untuk membantu pengguna mengurus penggunaan elektrik secara lebih cekap melalui akses kepada maklumat, teknologi dan pilihan penggunaan tenaga yang bersesuaian,” katanya dalam sidang media mengenai perkara itu di sini, hari ini.
Menerusi keputusan kerajaan itu, kesemua pengguna domestik dengan penggunaan 800kWj dan ke bawah sebulan dikecualikan daripada caj Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA), Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) lapan peratus, serta caj peruncitan RM10 dalam bil bulanan mereka.
Pelaksanaan perlindungan tambahan itu berkuat kuasa bagi penggunaan elektrik bermula September hingga 31 Dis 2026, dengan jumlah pengurangan bagi bulan September akan dikreditkan secara terus dalam bil elektrik bulan Oktober.
Bagi menampung pengecualian caj AFA dan caj peruncitan sepanjang tempoh berkenaan, TNB dijangka menanggung implikasi kewangan berjumlah antara RM120 juta hingga RM150 juta.
Mengulas lanjut, Shamsul berkata penstrukturan itu turut melindungi pengguna daripada perubahan kadar AFA yang dipengaruhi ketidaktentuan pasaran kos bahan api global berikutan krisis geopolitik di Asia Barat.
Meskipun diberikan perlindungan tambahan, TNB menasihati pengguna supaya kekal mengamalkan langkah kecekapan tenaga termasuk memantau penggunaan menerusi aplikasi myTNB.
-- BERNAMA