KUALA LUMPUR:Susulan kes COVID-19 menunjukkan angka membimbangkan di Selangor, Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Negeri Selangor mengalu-alukan penyertaan lebih ramai sukarelawan untuk membantu barisan hadapan di negeri berkenaan.

Pengerusinya, R Nanthakumar berkata, pihaknya telah merangka pelbagai strategi untuk 2021 termasuk memberi bantuan tenaga kerja di Hospital Selayang.

Bahkan, mereka turut menggerakkan melakukan proses sanitasi di beberapa kawasan sekitar Selangor.

"Bagi memastikan semuanya berjalan lancar selain meringankan beban tugas hadapan, kita memerlukan tambahan kira-kira 1,000 sukarelawan lagi.

“Kita sudah bersedia dengan pelan strategi malah kira juga telah mengaktifkan bilik ‘Task Force COVID-19 2.0’ di peringkat negeri, beroperasi 24 jam, tujuh hari seminggu.

“Semua yang terlibat adalah sukarelawan, 24 jam sehari dan kami sediakan pasukan yang memandu ambulans dan juga pasukan sanitasi,” katanya kepada Astro AWANI.

Sukarelawan BSMM Selangor kini setiap hari menjalankan sanitasi di Hospital Selayang bagi membantu hospital tersebut membasmi virus COVID-19.

Menurut Nanthakumar, selain penambahan sukarelawan, pihaknya juga mengalu-alukan sumbangan daripada semua pihak untuk diagihkan kepada mereka yang memerlukan.

“Kami juga berharap rakyat negeri Selangor bersama-sama membanteras, berganding bahu untuk memutuskan rantaian COVID-19 ini,” ujarnya.

Katanya lagi, tahun lepas BSMM Selangor menjalankan pelbagai aktiviti bagi membantu barisan hadapan malah mereka turut menyumbangkan makanan kepada golongan memerlukan yang terjejas teruk akibat pandemik itu.

Tiba ke tahun 2021, Nanthakumar berkata mereka kini sedang giat merancang pelbagai strategi dan antara fokus utama adalah memberi bantuan dan sokongan kepada barisan hadapan.