KUANTAN: Kerajaan Pahang telah membelanjakan lebih RM141 juta bagi program Bantuan Prihatin Pahang (BPP) bermula 2020 sehingga kini, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata kerajaan negeri sedar keperluan dan manfaat pelaksanaan inisiatif ini serta komited menambah baik pelaksanaan BPP selain memperluaskan skop program itu supaya lebih ramai yang mendapat manfaat.

Sebagai contoh beliau berkata, yang terbaharu kerajaan negeri telah memperkenalkan Program Berkhatan Anak Pahang menerusi BPP yang telah diperuntukkan sebanyak RM1 juta kepada 3,000 penerima.

Selain itu turut dilaksanakan ialah Program MyLesen Prihatin Pahang yang menyediakan subsidi lesen motosikal kepada golongan muda berusia 18 hingga 21 tahun melibatkan peruntukan RM720,000 dan inisiatif pembedahan katarak mata yang memanfaatkan warga emas dengan peruntukan RM1.5 juta.

"Kerajaan negeri juga memperkasakan program sedia ada di bawah BPP bagi meningkatkan manfaat penerima antaranya bagi kluster siswa yang mana bantuan diberikan tahun lepas sebanyak RM300 dinaikkan kepada RM400 tahun ini untuk seorang pelajar," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya Su Keong Siong (PH-Ketari) yang ingin tahu keseluruhan peruntukan BPP yang disediakan dan sama ada kerajaan negeri berhasrat memperluas bantuan itu kepada lebih ramai rakyat Pahang.

Sementara itu, ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Cheka) yang ingin tahu mekanisme pemilihan BPP supaya tidak ada individu yang tercicir, Wan Rosdy meminta pihak berkaitan memaklumkan perkara itu kepadanya sekiranya ada individu layak menerima bantuan tetapi tidak disalurkan kepada mereka.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff memaklumkan sehingga Dis 2023, sebanyak 110 kompaun berjumlah kira-kira RM15,000 telah dikeluarkan kepada pihak tidak mengikut arahan pelaksanaan papan tanda tulisan jawi.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Zuridan Mohd Daud (PN-Damak) yang ingin tahu berapa jumlah kutipan kompaun yang dikenakan bagi pihak tidak mengikut arahan yang ditetapkan bagi memartabatkan tulisan jawi pada papan tanda di seluruh Pahang.

Ketika menjawab soalan tambahan Zuridan, beliau berkata, mana-mana pihak yang melihat ada kesilapan pada tulisan jawi di papan tanda diminta memaklumkan kepada pihak berkuasa tempatan atau majlis daerah untuk tindakan lanjut.

-- BERNAMA