Bank Negara Malaysia (BNM) menjalankan operasi serbuan bersama terhadap rangkaian perniagaan perkhidmatan wang haram dan merampas wang tunai (ringgit dan mata wang asing), wafer emas dan kenderaan mewah yang bernilai lebih daripada RM18 juta.

Operasi tersebut dijalankan bersama-sama dengan Pasukan Penguatkuasa Pemulihan Hasil Negara Jabatan Peguam Negara (NRRET), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen.

BNM dalam satu kenyataan hari ini berkata sebanyak 14 premis, termasuk tiga premis yang dikendalikan oleh pengendali perniagaan perkhidmatan wang berlesen, di Kuala Lumpur dan Selangor telah diserbu.

Untuk membantu siasatan, dokumen-dokumen yang berkenaan telah dirampas dan akaun bank dibekukan.

"Semasa operasi serbuan dijalankan, 12 suspek termasuk lapan warganegara asing telah ditahan dan direman, manakala 23 individu lagi disoal siasat," kata bank pusat.

Premis-premis ini diserbu kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011 (MSBA) dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dah Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFA).

BNM menasihati orang awam untuk tidak membuat apa-apa urusan pengurupan wang atau pengiriman wang dengan pengendali perniagaan perkhidmatan wang haram.

"Mana-mana individu yang berurusan dengan pengendali perniagaan perkhidmatan wang haram melakukannya atas risiko sendiri, dan tindakan undang-undang yang berkenaan oleh pihak berkuasa yang berkaitan juga boleh dikenakan ke atas mereka," kata bank pusat.

Orang ramai dikehendaki berurusan hanya dengan pengendali perniagaan perkhidmatan wang berlesen sahaja yang disenaraikan di laman sesawang BNM (www.bnm.gov.my).

-- BERNAMA