KUALA LUMPUR: Sebanyak RM9.24 juta disalurkan kepada 462 kuil di seluruh negara menerusi Program Dharma MADANI, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan.
Beliau berkata fasa pertama program itu telah dimulakan pada 27 Jan lepas melibatkan 162 kuil dengan peruntukan RM3.24 juta, manakala fasa kedua bermula hari ini melibatkan peruntukan RM6 juta kepada 300 kuil.
Advertisement
“Pelaksanaan program itu akan diteruskan menerusi fasa ketiga dan keempat, namun terdapat beberapa permohonan yang masih belum lengkap dari segi dokumentasi,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan peruntukan Program Dharma MADANI kepada 300 buah kuil, di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia Dr Mohd Shaharin Umar dan Ketua Pengarah Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) Raveendran Nair.
Ramanan berkata MITRA, agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), diarahkan membantu melengkapkan dokumen berkenaan bagi memastikan permohonan dapat diproses dengan lancar.
“Ada beberapa kuil yang borang mereka tidak lengkap, jadi dokumen-dokumen masih lagi diperlukan.
“Kita akan memantau dan memberikan bimbingan selain memastikan jika semuanya tepat, kami akan berikan kelulusan. Kita tidak menolak, kita akan bantu dan beri kelulusan jika semua syarat lengkap dan semua dipatuhi,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan usaha menaik taraf perjawatan di MITRA kini dalam perhatian dan menunggu kelulusan rasmi, walaupun telah dipersetujui pada peringkat dasar.
Penambahan jawatan itu, beliau berkata penting bagi membolehkan MITRA mewujudkan pusat sehenti bagi komuniti India mendapatkan maklumat mengenai pelbagai program kerajaan.
“Melalui pusat ini, masyarakat akan lebih mudah mengakses maklumat dan manfaat yang ditawarkan, termasuk program seperti Vetri MADANI di bawah HRD Corp, yang masih kurang diketahui,” katanya.
-- BERNAMA