Skip to main content

Malaysia

Sultan Selangor berkenan menaiki LRT3, teruja nantikan lima stesen tertangguh siap dibina

[TB]_SULTAN SELANGOR LRT3_FB Selangor Royal Office
(Dari kiri) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah; Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menaiki tren LRT3 pada Isnin. - Foto Facebook Selangor Royal Office
Advertisement

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan merasai sendiri pengalaman menaiki perkhidmatan aliran transit ringan tiga (LRT3) dari stesen Bandar Utama di Petaling Jaya hingga ke stesen Johan Setia di Klang pada Isnin.

Melalui kenyataan media yang dikongsikan di laman media sosial Selangor Royal Office, baginda menzahirkan rasa syukur projek infrastruktur pengangkutan awam berkenaan dapat dinikmati rakyat, dan teruja menantikan siapnya lima lagi stesen tertangguh yang bakal dibina.

Stesen tersebut ialah stesen LRT3 Tropicana, Temasya, Raja Muda, Bukit Raja, dan Bandar Botanik.

“Titah Baginda lagi, alangkah baiknya kalau laluan LRT3 ini siap seperti perancangan asal kerana Baginda berpandangan perkhidmatan tren ini adalah kemudahan pengangkutan awam yang penting untuk kesenangan rakyat.  

“Baginda turut memuji kesabaran rakyat Selangor dan Alhamdulillah, akhirnya LRT3 Laluan Shah Alam ini siap dan boleh digunakan. Baginda percaya ada hikmah yang Allah SWT ingin tunjukkan daripada kelewatan ini,” menurut kenyataan itu.

 

 

Sultan Sharafuddin turut berkenan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dan juga Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) serta semua pihak yang terlibat secara langsung mahu pun tidak langsung dalam menjayakan pembinaan dan pengoperasian LRT3 ini.

“Baginda teIah disembah maklum bahawa sepanjang pelaksanaan projek LRT3, lebih 13,000 individu telah menyumbang tenaga, kepakaran dan komitmen mereka dalam merealisasikan pembinaan Laluan Shah Alam.  

“Sepanjang tempoh pembinaan selama 10 tahun 9 bulan, secara puratanya seramai 8,000 kakitangan bertugas di pelbagai lokasi pada satu-satu masa, merangkumi pelbagai disiplin dan bidang kepakaran bidang kepakaran bagi memastikan projek ini dapat dilaksanakan dengan jayanya,” kata kenyataan itu lagi.

Dalam pada itu, baginda juga berpesan kepada rakyat jelata memanfaatkan sepenuhnya perkhidmatan tren ini yang menjadi pemangkin kepada budaya penggunaan pengangkutan awam yang lebih meluas demi mewujudkan sistem mobiliti yang moden, lestari dan berkualiti untuk masa hadapan.

Laluan LRT3 itu dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 28 Jun lepas, yang turut mengumumkan tambang percuma selama sebulan bermula 29 Jun hingga 31 Julai kepada semua penumpang, termasuk bagi perkhidmatan bas perantara kendalian Prasarana di sepanjang laluan berkenaan.

Projek bernilai RM16.63 bilion itu merupakan antara pelaburan strategik kerajaan bagi memperkukuh infrastruktur pengangkutan awam negara.

Laluan berkenaan turut disokong oleh 40 bas perantara yang beroperasi di 323 hentian membabitkan 13 laluan khusus bagi meningkatkan kesalinghubungan kepada pengguna. 

 

 

Must Watch Video

Advertisement