Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak perlu dibuka secepat mungkin bagi memudahkan pengguna jalan raya, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata walaupun pembukaan lebuh raya ini perlu disegerakan, namun aspek keselamatan mesti diutamakan.

"Sebagai Menteri Pengangkutan saya juga mengambil berat mengenai keselamatan jalan raya ini untuk dibuka secepat mungkin kerana ketika ini penutupan jalan tersebut menyusahkan pengguna jalan raya dari Pantai Timur.

"Namun, kami juga faham keselamatan perlu diutamakan. Saya juga bergantung kepada pakar-pakar untuk memberi maklumat-maklumat terkini," kata Liow kepada pemberita selepas melawat lokasi kejadian banjir lumpur di KM52.4 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, di sini, pada Jumaat.

Liow yang juga Ahli Parlimen Bentong berkata kawasan pergunungan di tempat kejadian juga perlu dipantau dan diawasi demi keselamatan penduduk Lentang.