SINGAPURA: Lee Hsien Loong akan kekal dalam kabinet kerajaan Singapura sebagai Menteri Kanan selepas meletak jawatan sebagai perdana menteri.

Timbalan Perdana Menteri, Lawrence Wong memaklumkan perkara berkenaan pada Selasa dan menjelaskan tidak akan berlaku banyak perubahan dalam kabinet tersebut.

Wong juga memaklumkan maklumat lengkap rombakan kabinet akan diumumkan beberapa hari sebelum majlis angkat sumpah yang dijadualkan pada 15 Mei nanti.

"Sistem kita berfungsi atas dasar kesinambungan dan perubahan progresif. Tidak pernah berlaku apabila berlaku peralihan kepimpinan, semua menteri lama berundur pada masa yang sama," katanya.

"Sebaliknya, mereka terus menyumbang dalam cara yang berbeza, sambil memberi ruang kepada yang lebih muda untuk meningkatkan. Jadi saya akan menggunakan pendekatan yang sama apabila saya mengambil alih."

Wong, yang juga Menteri Kewangan, berkata beliau gembira Hsien Loong telah bersetuju untuk kekal dalam Kabinet sebagai Menteri Kanan.

Untuk rekod, bekas Perdana Menteri Lee Kuan Yew dan Goh Chok Tong turut berkhidmat sebagai Menteri Kanan selepas berundur.

Ditanya sama ada Menteri Kanan Teo Chee Hean akan meneruskan peranannya, Wong berkata menteri sedia ada sebahagian besarnya akan kekal dalam portfolio semasa mereka, walaupun beliau dalam proses bercakap dengan setiap daripada mereka.

"Saya juga akan melihat kemungkinan kenaikan pangkat serta mempertimbangkan untuk membawa masuk beberapa pemimpin backbenchers untuk mengukuhkan pasukan," tambahnya.