ARAU: Seorang operator kilang yang sedang membantu seorang polis bantuan terlibat kemalangan meninggal dunia apabila dia dirempuh sebuah kereta Perodua Axia yang terbabas di Jalan Kuala Perlis-Changlun, Sungai Chempa di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Arau Supt Ahmad Mohsin Md Rodi berkata lelaki berusia 39 tahun itu meninggal dunia di lokasi manakala pemandu Perodua Axia iaitu seorang doktor wanita berusia 35 tahun dan polis bantuan yang bertugas di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mengalami kecederaan parah.
Beliau berkata pihaknya menerima maklumat berkaitan kemalangan itu pada 7.25 pagi.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila Perodua Axia terbabit terbabas ke kiri jalan dan melanggar polis bantuan dan operator kilang itu hingga menyebabkan operator kilang tersebut tercampak ke dalam parit.
“Sebelum itu, operator kilang berkenaan ingin membantu polis bantuan UniMAP berusia 36 tahun itu kerana kereta Honda City dipandu polis bantuan terbabit terbabas ke kiri jalan dan melanggar pokok selepas melalui jalan digenangi air,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Mohsin berkata mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar untuk bedah siasat manakala kedua-dua mangsa yang cedera parah turut dihantar ke hospital sama.
Kemalangan itu sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
-- BERNAMA