Seorang lelaki maut manakala rakannya cedera selepas kereta yang penuh dengan daun ketum dinaiki mereka terbabas melanggar sebuah kedai di Kampung Gemang, Jeli, pagi Khamis.

Dalam kejadian pukul 5.45 pagi itu, pemandu Myvi berusia 23 tahun yang berasal dari Pasir Mas maut di tempat kejadian akibat parah di kepala manakala penumpang di bahagian depan berusia 35 tahun yang mengalami kecederaan dikejarkan ke Hospital Jeli.

Pemeriksaan lanjut menemui 250 kilogram daun ketum dianggarkan bernilai RM6,000.

Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Superintendan Ahmad Ariffin berkata, ketika kejadian, anggota polis sedang membuat rondaan sebelum terserempak dengan kereta yang dalam keadaan mencurigakan di Kampung Salor.

Katanya, menyedari kehadiran polis, pemandu kereta itu terus memecut laju menghala Tanah Merah untuk mengelak daripada ditahan

“Polis mengejar suspek sejauh 20 kilometer dan sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta dinaiki hilang kawalan dan terbabas sebelum melanggar kedai di kiri jalan.

“Pemeriksaan lanjut menemui bungkusan plastik hitam berisi 250 kilogram daun ketum di tempat duduk penumpang.

"Kami percaya suspek melalui jalan tikus untuk mengelak daripada sekatan jalan raya di Batu Melintang selepas mengambil daun ketum di negeri di utara tanah air," kata Ahmad.

Beliau berkata, suspek juga dipercayai menjadi orang upahan mengambil bekalan daun ketum untuk dibawa masuk ke negeri ini dengan menggunakan kereta sewa.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun Akta Racun 1952 dan Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelas beliau lagi.

Sementara itu, pemilik kedai buah, Mohamad Che Ismail, 37, berkata, ketika kejadian dia baru selesai bersahur dan sedang bersiap untuk ke masjid.

“Secara tiba-tiba saya dikejutkan dengan bunyi brek sebelum disusuli dentuman kuat di kedai yang terletak 10 meter dari rumah.

“Saya keluar dan terkejut melihat sebuah kereta merempuh kedai buah sehingga roboh dan kerugian dianggarkan berjumlah RM3,000," katanya.