NATIONAL
Lelaki berusia 57 tahun ditahan ugut penguat kuasa DBKL di WhatsApp

Rusdi Mohd Isa berkata, lelaki itu ditahan kira-kira pukul 12.10 tengah malam Selasa. - Foto fail/Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki berusia 57 tahun ditahan selepas disyaki membuat ugutan jenayah dan mengeluarkan kenyataan berunsur hasutan ke atas penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi media sosial.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, lelaki itu ditahan kira-kira pukul 12.10 tengah malam Selasa.
Penahanan itu katanya adalah susulan laporan daripada pegawai penguat kuasa DBKL itu pada pukul 1.07 tengah hari, Isnin.
"Siasatan awal mendapati satu tangkap layar perbualan dalam sebuah kumpulan WhatsApp telah tersebar di Facebook dan mengandungi unsur ancaman serta hasutan terhadap anggota penguat kuasa DBKL yang menjalankan tugas sebagai penjawat awam.“Paparan tangkap layar itu mengandungi kenyataan yang berunsur ugutan dan niat jahat terhadap pegawai penguat kuasa yang sedang melaksanakan tugas penguatkuasaan undang-undang," katanya dalam kenyataan di sini, pada Selasa.
Kes itu kata Rusdi disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan Seksyen 505(b) kanun kerana mengeluarkan kenyataan yang boleh mendatangkan ketakutan atau kegentaran awam.
Beliau memberitahu, lelaki itu turut disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami