Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Lelaki campak kanak-kanak ke dalam sungai direman tujuh hari

Seorang lelaki direman selama tujuh hari kerana disyaki mencampak kanak-kanak perempuan berusia lima tahun ke dalam sungai di Kampung Padang, Tanjung Sedili semalam.
Tertuduh dibawa ke Mahkamah Sesyen di Kota Tinggi kira-kira 9 jam pagi ini sebelum ditahan reman tujuh hari kerana disyaki mencampak kanak-kanak perempuan berusia lima tahun ke dalam sungai hingga maut semalam. --fotoBERNAMA
Advertisement

KOTA TINGGI: Seorang lelaki direman selama tujuh hari kerana disyaki mencampak kanak-kanak perempuan berusia lima tahun ke dalam sungai di Kampung Padang, Tanjung Sedili semalam.

Perintah reman bermula hari ini hingga 28 Sept itu dikeluarkan Hakim Hafizah Abdul Rajak di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Terdahulu, lelaki yang berusia 37 tahun itu dirawat di Hospital Kota Tinggi sebelum dibawa ke mahkamah kira-kira 9 pagi ini, dengan berpakaian kemeja-T biru serta diiringi anggota polis.

Pagi semalam, seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun ditemukan maut selepas dipercayai dicampak ke dalam sungai oleh bapa saudaranya di Kampung Padang, Tanjung Sedili di sini.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Yusof Othman berkata lelaki tersebut dipercayai mencampak mangsa ke dalam sungai sebelum mengamuk dan mengejar seorang lelaki berusia 40 tahun dengan bersenjatakan parang.

Beliau berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira 9.30 pagi dan sejurus tiba di lokasi kejadian, berlaku pergelutan antara polis dengan suspek hingga menyebabkan seorang anggota polis mengalami kecederaan, namun suspek berjaya ditahan.

Yusof berkata pembantu pegawai perubatan yang berada di lokasi mengesahkan kematian kanak-kanak itu dan mayat dihantar ke Hospital Kota Tinggi sebelum dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Pasir Gudang untuk bedah siasat hari ini. 

Beliau berkata suspek dipercayai menghadapi masalah kesihatan mental manakala kejadian berkenaan sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement