PASIR PUTEH: Seorang lelaki cedera pada kaki kirinya selepas dipercayai terkena tembakan di Kampung Telosan, di sini pada Selasa.

Kejadian awal pagi itu berlaku ketika mangsa yang berusia 27 tahun dikatakan bersama beberapa orang kenalannya telah ke lokasi berkenaan untuk membaiki kereta.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintenden Zaizul Rizal Zakaria berkata, siasatan awal mendapati ketika mangsa tiba di tempat kejadian, sebuah kereta jenis Perodua Alza yang dinaiki beberapa lelaki tidak dikenali memberhentikan kenderaan terbabit di hadapan rumah tempat dia berada.

"Kemudian salah seorang suspek telah melepaskan beberapa das tembakan ke arah mangsa dan rakan-rakan sebelum melarikan diri.

"Mangsa telah dikejarkan ke Hospital Tengku Anis dan akan dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) untuk rawatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, katanya, mangsa berada dalam keadaan stabil.

Ujar Zaizul Rizal, polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 45 tahun yang mempunyai dua rekod lampau berkaitan narkotik untuk membantu siasatan.

"Kita sedang mengesan beberapa orang lagi suspek yang masih bebas dan kes disiasat bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaaan serta Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tersebut boleh menghubungi talian 013-6232713," katanya. - Sinar Harian