ALOR SETAR: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Alor Setar, hari ini atas pertuduhan membuang dan menyembunyikan mayat seorang remaja perempuan di tepi jalan simpang Pokok Pauh di Pokok Sena, di sini pada 11 Mei lalu.

Tertuduh, Low Yon Peng, 27, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nurshahida Abdul Rahim.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan iaitu membuang dan menyembunyikan mayat mangsa dengan niat untuk mengelak dikenakan tindakan undang-undang.

Jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan denda.

Mayat remaja perempuan berusia 17 tahun itu ditemukan di dalam kawasan kebun getah di Pokok Pauh Dalam, Mukim Lesong, Pokok Sena.

BACA: 9 suspek bunuh remaja akan didakwa

Mahkamah turut menetapkan 22 Jun ini untuk sebutan semula kes.

Sementara itu lapan lagi individu yang berada bersama Low dituduh di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) kerana melakukan aktiviti terlarang iaitu berkumpul ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Kesemua mereka yang berusia antara 13 hingga 33 tahun itu diperintah membayar kompaun dari RM2,500 sehingga RM7,000.

Manakala seorang wanita Kemboja berusia 20 tahun dituduh mengikut Peraturan 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana kesalahan tinggal lebih tempoh di negara ini.

Jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 50 tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Bagaimanapun kes tidak dapat dijalankan kerana tiada jurubahasa.