ISKANDAR PUTERI: Seorang lelaki berusia 54 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Khamis atas pertuduhan merogol anak tirinya sejak mangsa berusia 12 tahun.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin dalam satu kenyataan berkata, lelaki berkenaan ditahan ketika menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri sebelum dituduh di mahkamah.

“Suspek telah dituduh di Mahkamah Sesyen Johor Bahru semalam (Khamis) atas kesalahan 376 (3) Kanun Keseksaan (rogol).

“Bagaimanapun tertuduh telah mengaku tidak bersalah dan ditawarkan jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin.

“Suspek kemudiannya telah dijamin oleh mahkamah dan kes akan disebut semula di Mahkamah Sesyen Jenayah Johor Bahru pada 23 Januari 2024,” katanya kenyataan tersebut.

Untuk rekod, ketika kejadian (rogol) terakhir berlaku Ogos lalu di sebuah rumah di daerah ini terhadap mangsa yang berusia 18 tahun lima bulan.

Bagaimanapun, mangsa hanya membuat laporan polis pada 24 November 2023 lalu di IPD Iskandar Puteri. - Sinar Harian